Suraya Roslan dan Yusmizal Dolah Aling

  

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan jumlah jangkitan baharu akan meningkat disebabkan Omicron BA.4 dan BA.5 terutamanya BA.5.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Omicron BA.5 adalah versi virus Covid-19 yang paling mudah merebak setakat ini.

"Ia lebih mudah menjangkiti berbanding varian Omicron sebelumnya iaitu BA.1 dan BA.2.

"Mereka yang melengkapkan vaksinasi Covid-19 atau dijangkiti Covid-19 sebelum ini lebih berkemungkinan untuk dijangkiti semula dengan varian ini.

"Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan jangkitan Covid-19 dalam beberapa minggu akan datang," katanya dalam sidang media khas hari ini.

Menurutnya, situasi seperti itu juga mengakibatkan peningkatan kemasukan ke hospital seperti di Singapura, Portugal, United Kingdom dan lain-lain.

"Bagaimanapun data dari Israel dan Amerika Syarikat menunjukkan individu yang melengkapkan vaksinasi dos primer dan menerima dua dos penggalak terutamanya dalam kumpulan umur 60 dan ke atas mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang hanya mempunyai satu dos penggalak.

"Dalam pada itu, mereka yang mempunyai satu dos penggalak mempunyai risiko kematian akibat Covid-19 yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak menerima dos penggalak atau langsung tidak mendapat vaksinasi Covid-19," katanya.

Khairy berkata, pihaknya juga menjangkakan kehadiran subvarian Omicron BA.5 akan mencipta gelombang baharu.

"Kesemua trend peningkatan yang saya sampaikan ini adalah selari dengan situasi terkini Covid-19 di peringkat global di mana bilangan kes baharu mingguan menunjukkan peningkatan untuk tiga minggu berturut-turut dari Minggu Epidemik (ME) 22/2022 hingga ME 25/2022, selepas penurunan daripada kemuncak gelombang Omicron pada Mac 2022.

"Trend peningkatan kes baharu dan kematian juga turut direkodkan di negara yang melaksanakan program imunisasi Covid-19 lebih awal dan melepasi tempoh enam bulan sejak dos penggalak pertama diberikan," katanya.

Menurutnya, jumlah kes jangkitan semula Covid-19 ketika gelombang varian Delta dan Omicron menunjukkan varian Delta sebanyak 2,295 kes, gelombang varian Omicron pula 14,360 kes dan nisbah kes jangkitan semula Covid-19 gelombang varian Omicron dan gelombang varian Delta pula 14,360 kes : 2,295 kes.

"Kes jangkitan semula Covid-19 meningkat sebanyak 6.3 kali ganda semasa gelombang varian Omicron berbanding gelombang varian Delta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:31 PM