FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Hanya 56.7 peratus penduduk Johor mengambil satu dos penggalak, berbanding 4 juta populasi negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, penerima dos penggalak kedua juga lebih rendah iaitu 1.8 peratus.

Susulan varian terbaharu Covid-19 yang dikesan ketika ini, Ling menyarankan rakyat negeri itu terutama mereka yang berisiko tinggi supaya melengkapkan vaksinasi.

Katanya, ia untuk mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.

"Sehingga semalam, sebanyak 87 peratus daripada populasi di Johor telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap.

"Perlindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 ini akan berkurang selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian semasa.

"Oleh itu, mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak terutama golongan berisiko tinggi, disarankan segera mendapatkan vaksin secara 'walk in' atau janji temu di klinik kesihatan atau hospital," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia dilapor bersiap siaga menerima kemasukan pelancong asing khususnya dari China yang berdepan lonjakan penularan Covid-19, jika mesyuarat Kabinet hari ini, memutuskan untuk membenarkan kemasukan pengembara dari negara itu.

Awal bulan lalu, China dilaporkan menamatkan dasar sifar-Covid bagi membendung wabak berkenaan dengan pembukaan semula sempadan negaranya.

Bagaimanapun, penamatan dasar itu turut menyaksikan peningkatan kes dan kematian di China akibat wabak yang disebabkan oleh subvarian Omicron, BA.5 yang lebih berbahaya.

Pakar kesihatan awam Malaysia turut dilapor menyarankan individu berisiko tinggi supaya mengambil vaksin penggalak tambahan kerana berkemungkinan status imun semakin rendah dan memerlukan dos tambahan bagi merangsang sistem imun sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 1:49 PM