GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Varian XBB, subvarian Omicron mendominasi penularan Covid-19 di negara ini sepanjang Disember lalu, merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang menjalani penjujukan genom.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil survelan genomik SARS-CoV-2 bagi tempoh itu menunjukkan dominasi varian itu diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).

"Ini menunjukkan bahawa XBB masih menjadi varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak Oktober tahun lalu.

"Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian Lineage Under Monitoring (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Data daripada negara lain yang telah mengalami penularan XBB seperti Singapura dan India menunjukkan peningkatan bilangan kes jangkitan semula terutama dalam kalangan penduduk yang dijangkiti semasa gelombang Delta atau dijangkiti oleh VOC Omicron sekurang-kurang 6 bulan lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jangkitan semula mungkin disebabkan oleh tahap antibodi yang sudah mula berkurangan dan menyebabkan jangkitan semula tidak dapat dielakkan.

"Oleh yang demikian, adalah disarankan supaya golongan yang mempunyai masalah kesihatan mengambil dos penggalak kedua supaya sistem imun dapat bersedia untuk sebarang jangkitan semula.

"Berdasarkan maklumat terkini, WHO berpendapat bahawa ciri-ciri phenotype XBB tidak banyak berubah berbanding sublineage Omicron yang lain sebelum ini, dari segi keperluan tindakan kesihatan awam, walaupun terdapat penambahan mutasi yang dikaitkan dengan immune escape," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, varian BA.5.2 dan varian BF.7 merangkumi lebih kurang 80 peratus daripada varian yang menular di China pada masa ini.

"Kedua-dua varian ini tergolong sebagai sublineage Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai LUM WHO, namun dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China," katanya.

Beliau berkata,varian BA.5.2 dan BF.7 juga sudah dikesan di Malaysia yang mana terdapat 4,148 kes yang dijangkiti dengan BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.

"Walau bagaimanapun, belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan varian BA.5.2 dan BF.7.

"Situasi ini akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.

"Perkara ini akan diumumkan dengan segera oleh WHO kepada semua negara anggota WHO serta penduduk secara am," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:42 PM