AFP

Tokyo: Bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe dikhuatiri maut selepas ditembak ketika menyampaikan ucapan di Nara pada Jumaat, lapor media tempatan.

Penyiar tempatan NHK berkata, lelaki berusia 40-an ditahan kerana cubaan bunuh dan senjata api digunakan dirampas.

Bekas pemimpin itu menyampaikan ucapan pada satu acara menjelang pilihan raya apabila bunyi tembakan yang jelas kedengaran, lapor NHK dan agensi berita Kyodo.

"Ketika dia sedang berucap, seorang lelaki datang dari belakang," kata seorang wanita yang ditemukan di lokasi kejadian.

"Tembakan pertama berbunyi seakan pistol mainan, namun Abe tidak jatuh sebelum terdengar tembakan yang lebih kuat.

"Tembakan kedua lebih jelas, anda boleh melihat percikan api dan asap," katanya.

SUSPEK yang dipercayai menembak Abe. FOTO Yomiuri Shimbun/ Reuters
SUSPEK yang dipercayai menembak Abe. FOTO Yomiuri Shimbun/ Reuters

Kejadian itu menyebabkan Abe, 67, rebah dengan lehernya berdarah, kata sumber dari Parti Liberal Demokratik (LDP) kepada agensi berita Jiji.

LDP dan polis tempatan tidak dapat mengesahkan kejadian itu dalam tempoh singkat.

NHK dan Kyodo kedua-duanya melaporkan Abe sudah dibawa ke hospital.

Istilah yang digunakan di Jepun menunjukkan 'tiada tanda masih hidup' (no vital sign), dan biasanya digunakan sebelum pengesahan rasmi kematian oleh koroner.

Beberapa media melaporkan Abe kelihatan ditembak dari arah belakang.

LOKASI kejadian. FOTO EPA/ JIji Press/ Japan Out
LOKASI kejadian. FOTO EPA/ JIji Press/ Japan Out

Kerajaan berkata, pasukan petugas sudah ditubuhkan susulan insiden itu dan jurucakap tertinggi kerajaan dijangka memberi kenyataan tidak lama lagi.

Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat dengan memegang jawatan itu bermula 2006 sebelum sekali lagi dipilih pada dari 2012 hingga 2020.

Dia bagaimanapun terpaksa berundur kerana mengalami masalah kesihatan berkaitan usus.

Jepun memiliki undang-undang kawalan senjata api yang paling ketat di dunia.

Proses mendapatkan lesen senjata api juga panjang dan rumit walaupun untuk warga Jepun kerana mesti mendapatkan cadangan daripada persatuan menembak sebelum melalui saringan ketat polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 3:24 PM