GAMBAR fail menunjukkan Abe terjatuh selepas ditembak. FOTO  Asahi Shimbun/Reuters.
GAMBAR fail menunjukkan Abe terjatuh selepas ditembak. FOTO Asahi Shimbun/Reuters.
Reuters

Tokyo: Di saat dia melihat wajah pucat Shinzo Abe, Shingo Nakaoka tahu sebarang usaha untuk menyelamatkan bekas Perdana Menteri Jepun itu mungkin sia-sia.

Ketika doktor berusia 64 tahun itu bergegas ke lokasi kejadian dari klinik berdekatan beberapa minit selepas Abe ditembak pada 8 Julai lalu, muka ahli parlimen itu kelihatan 'tidak berdarah' akibat luka tembakan yang dalam di leher.

"Apa yang mengejutkan saya ialah betapa pucatnya wajahnya.

"Apabila kami memegang di kawasan jantung, badannya tidak memberi respon. Dia hampir tidak sedarkan diri dan dia sangat pucat, saya tahu dia berada dalam keadaan sangat kritikal ," kata Nakaoka kepada Reuters ketika dihubungi beberapa hari selepas pembunuhan itu.

Nakaoka berkata, seorang lagi doktor di klinik sama mula bertindak apabila seorang pesakit tiba-tiba meluru masuk dalam keadaan panik dan menjerit memintanya datang membantu.

Nakaoka bersama jururawat berlari menuruni tiga anak tangga untuk ke lokasi kejadian.

SHINZO Abe ketika memberi ucapan sebelum FOTO Asahi Shimbun/Reuters.
SHINZO Abe ketika memberi ucapan sebelum FOTO Asahi Shimbun/Reuters.

Seorang individu yang dipercayai dari rombongan Abe segera menyerahkan defibrilator luaran automatik (AED), namun, ia tidak dapat dihidupkan, katanya.

Seorang daripada tiga jururawat kemudian berlari ke klinik untuk mengambil mesin lain.

Bagaimanapun, ketika alat itu dipasang pada badan Abe, mesej suara dari alat berkenaan menyatakan 'tidak berkaitan', kata Nakaoka.

Ia berlaku apabila jantung berdegup secara normal atau tidak berdegup langsung.

Log jabatan bomba tempatan yang dikeluarkan minggu lalu menunjukkan responden pertama mengesyaki Abe mengalami serangan jantung dalam beberapa minit selepas tembakan.

Tiada jalan lain, Nakaoka bergilir-gilir dengan jururawatnya untuk menekan dada Abe secara manual.

Bagaimanapun, dalam keadaan kehilangan darah yang banyak, peluang untuk menyelamatkan Abe amat tipis.

"Ketika itu, saya sangat terdesak," kata Nakaoka.

SITUASI ketika tembakan pertama dilepaskan ketika Abe memberikan ucapan. FOTO Asahi Shimbun/Reuters.
SITUASI ketika tembakan pertama dilepaskan ketika Abe memberikan ucapan. FOTO Asahi Shimbun/Reuters.

Katanya, sepanjang tempoh itu Abe langsung tidak memberi respon.

Ambulans tiba pada 11.41 pagi, kira-kira 11 minit selepas Abe ditembak, kata jurucakap jabatan bomba bandar Nara.

"Ia terasa sangat lama. Abe perlu dihantar ke pusat perubatan utama dengan segera untuk menghentikan pendarahan," kata Nakaoka.

Helikopter membawa Abe yang secara klinikalnya sudah meninggal tiba di Pusat Perubatan Universiti Nara, terletak kira-kira 20 kilometer (km), pada jam 12.20 tengah hari.

"Bila saya fikirkan kembali ketika ini, ada saatnya saya tidak tahu apa yang badan saya lakukan.

"Apa yang saya ingat adalah berdoa supaya ada keajaiban supaya Abe dapat diselamatkan," kata Nakaoka.

Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat itu disahkan meninggal dunia pada 5.03 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 3:08 PM