Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada beraksi di Sukan Komanwel Birmingham 2022, namun akur dan menghormati keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara itu.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan berat itu terpaksa diambil oleh Zii Jia berikutan perlu mengharungi jadual padat bagi Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo, Jepun.

"Seperti orang ramai saya juga berasa kecewa dengan pengunduran Lee Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel.

"Saya dah dapat bercakap dengan Zii Jia sendiri dan beliau memohon maaf dan sebenarnya dia bersungguh-sungguh hendak mewakili Malaysia di Sukan Komanwel tetapi keadaan jadual dan cara beliau yang begitu padat menyebabkan terpaksa mengambil keputusan berat ini," katanya.

AHMAD Faizal (dua dari kiri) berasa kecewa dengan pengunduran Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI
AHMAD Faizal (dua dari kiri) berasa kecewa dengan pengunduran Zii Jia daripada mengambil bahagian mewakili Malaysia di Sukan Komanwel. FOTO BALQIS JAZIMAH ZAHARI

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Temasya Sukan SMK RPS di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata, Zii Jia turut meluahkan rasa kesal sedangkan ini peluang untuk beraksi di Sukan Komanwel dan juga peluang untuk membawa pulang pingat emas untuk negara.

"Jadi, beliau sebenarnya berasa begitu kesal tidak dapat mewakili Malaysia," katanya. Menurutnya, beliau berpendapat bahawa semua atlet seharusnya meletakkan kepentingan negara mengatasi segala-galanya.

"Namun saya menghormati keputusan yang dibuat oleh Lee Zii Jia, kita berharap yang terbaik untuk beliau," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya tetap meletakkan keyakinan tinggi kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong.

"Saya juga meletakkan keyakinan yang tinggi kepada perseorangan ketiga kita yang masih mampu memberi saingan yang hebat.

"Ini peluang kepada beliau untuk keluar daripada comfort zone dan Sukan Komanwel ini akan menyerlahkan bakat yang ada pada perseorangan ketiga kita," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Keputusan pemain badminton perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia menarik diri ketika Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal bermula 35 hari saja, nyata mengejutkan banyak pihak.

Berita penarikan diri dikongsi Zii Jia menerusi video itu nyata memberi impak terutama dalam sasaran pingat skuad negara di temasya bermula 28 Julai hingga 8 Ogos itu, apabila pemain di ranking kelima dunia itu adalah prospek emas negara.

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerard Monteiro dilaporkan berkata kini menyerahkan sepenuhnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menentukan semula sasaran pingat.

Kekosongan ditinggalkan juara Asia itu memberi peluang buat perseorangan lelaki negara, Tze Yong mengalas tugas sebagai perseorangan lelaki negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Jun 2022 @ 12:44 PM