ZII Jia tarik diri sertai Sukan Komanwel.
ZII Jia tarik diri sertai Sukan Komanwel.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pasrah dengan keputusan penarikan diri pemain perseorangan lelaki badminton negara, Lee Zii Jia dari Sukan Komanwel Birmingham, bulan depan.

Berdasarkan status Zii Jia iaitu sebagai pemain profesional negara, pemain ranking kelima itu berhak membuat keputusannya sendiri tanpa campur tangan daripada BAM berikutan status pemain itu yang bukan lagi di bawah tanggungjawab BAM.

Bagaimanapun BAM menerusi Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merangkap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memaklumkan sudahpun mengetahui perkara membabitkan prospek emas negara itu.

"Saya sudah maklum perkara itu dan ia adalah hasil perbincangan bersama yang dilakukan oleh bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum ini.

"Jadi kita tahu keputusan itu daripada apa yang dimaklumkan kepada KBS dan MSN," katanya.

Juara Kejohanan Badminton Asia 2022 dalam video yang dimuat naik malam semalam mengucapkan terima kasih kepada KBS termasuk menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, MSN serta BAM dan presidennya, Norza atas sokongan mereka yang mahu melihatnya beraksi di Birmingham sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 4:40 PM