SUAMI tidak meletakkan sebarang had untuk dia terus berkarya sebagai pelakon.
SUAMI tidak meletakkan sebarang had untuk dia terus berkarya sebagai pelakon.
Syafil Syazwan Jefri

syafil.syazwanhmetro.com.my

PERKAHWINAN dan rumah tangga bukan batu penghalang untuk seseorang individu itu meneruskan impian dan cita-cita.

Bagi pelakon Puteri Aishah, dia juga berpegang dengan kata-kata sama dan tidak menganggap perkahwinannya dengan ahli perniagaan, Muhammad Firdaus Sulaiman menjadi titik tolak untuknya memperlahankan kerjaya seni.

"Walaupun sudah berkahwin dan bergelar isteri, saya tak perlahankan karier seni saya dan ia masih berlangsung seperti biasa.

"Setakat ini, ada tawaran drama yang saya terima dan sekarang pun, saya menjalani penggambaran yang berlangsung sehingga Jun depan," katanya.

Puteri yang popular menerusi beberapa karya antaranya filem Pulang turut berkongsi mengenai sikap keterbukaan suaminya yang tidak meletakkan sebarang had untuk dia mengejar cita-cita sebagai pelakon.

"Dia berikan lampu hijau untuk saya terus berkarya sebagai pelakon. Dia nak saya capai cita-cita dan impian saya sebagai pelakon dan sebagai wanita dalam kehidupan saya.

"Dia pun kadang-kadang kerap juga menemani saya di lokasi penggambaran terutama jika penggambaran itu selesai lewat malam dan sebagainya," katanya.

Berkongsi

lebih lanjut mengenai kisah perkahwinannya, Puteri yang diijabkabulkan pada 21 November tahun lalu juga teruja untuk meraikan Aidilfitri pertama sebagai pasangan suami isteri.

"Aidilfitri tahun ini akan disambut berbeza memandangkan status saya juga kini sebagai isteri. Namun pada masa sama, saya juga memegang tanggungjawab untuk menjaga ibu saya yang sakit. Suami pun faham dan alhamdulillah, keluarga kami memang sangat mudah dan memahami," katanya yang akan menyambut Aidilfitri di Port Dickson, Negeri Sembilan bersama keluarganya pada hari raya pertama.

TERUJA meraikan Aidilfitri pertama sebagai isteri.
TERUJA meraikan Aidilfitri pertama sebagai isteri.

Berkongsi mengenai kenangan Aidilfitri yang sentiasa tersemat dalam ingatannya, Puteri bercerita mengenai kisah mencuit hati.

"Banyak sebenarnya kenangan yang saya tak dapat lupakan setiap kali menjelang Aidilfitri. Antaranya, baju yang sepatutnya saya pakai pada hari raya pertama berlubang akibat terkena bunga api.

"Ceritanya adalah kerana kedegilan saya sendiri. Biasalah, ketika kanak-kanak, memang tak sabar nak pakai baju raya. Jadi, malam raya pun saya dah pakai walaupun ibu saya dah nasihatkan supaya simpan.

"Jadi, tengah berseronok bermain bunga api, tak sangka pula bunga api terkena baju dan berlubang. Memang esoknya saya terpaksa pakai baju lain yang sedia ada untuk beraya," katanya.

Berkongsi mengenai juadah Aidilfitri kegemarannya, Puteri adalah peminat setia kuah kacang.

"Ramai orang sukakan rendang, tapi saya pula sukakan nasi impit yang dimakan bersama kuah kacang. Jadi, kalau tanya menu kegemaran saya dan menu apa yang saya pandai masak, saya boleh katakan kuah kacang," katanya.

Terbaharu, Puteri juga bekerjasama dengan beberapa jenama baju raya dan produk wangian aromaterapi Plant Origins.

"Untuk produk bersama Plant Origins, kami bekerjasama mengeluarkan produk semburan, Inflorescence Aromatherapy Room Spray dan untuk bauannya, saya dapat cetusan idea daripada wangian floral yang pernah dipakai ibu saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 6:00 AM