(kiri) MOHAMAD Irfan bersama rakan-rakannya. FOTO Mohamad Irfan Mohamad Azwardi
(kiri) MOHAMAD Irfan bersama rakan-rakannya. FOTO Mohamad Irfan Mohamad Azwardi
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: "Mujur perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini kebetulan jatuh pada hari cuti (Bank Holiday) di Dublin, Ireland jadi dapatlah kami menyambutnya dengan meriah sedikit selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian akibat pandemik Covid-19," penuntut tahun lima perubatan di Universiti Kolej Dublin, Mohamad Irfan Mohamad Azwardi, 25.

Menurutnya, sebaik selesai menyambut ketibaan Syawal itu, dia menyambung semula peperiksaan akhir yang sedang didudukinya.

"Di Ireland tiada cuti untuk perayaan Aidilfitri. Jadi jika hari raya jatuh pada hari bekerja, suasana sambutan jadi kurang meriah sebab ramai akan ke kelas atau bekerja.

"Kami menyambutnya Isnin lalu dengan berkumpul di Malaysia Hall Dublin seliaan Badan Perhubungan Ireland (BPI) dan kedutaan Malaysia untuk solat sunat Aidilfitri dan jamuan.

"Selepas itu baru masing-masing berkunjung ke rumah terbuka anjuran rakan-rakan. Saya dan rakan mengambil kesempatan ini untuk berkunjung ke rumah rakan kami dikenali sebagai Wak Azhari yang menjadi chef di negara ini.

"Kami berasa bertuah dapat merasa air tangan masakannya dan terubat rindu makanan Malaysia," katanya yang sudah kali ketiga menyambut Aidilfitri di Dublin kepada Harian Metro.

Mohamad Irfan berkata, bagaimanapun raya tanpa keluarga di sisi terasa kurang sempurna raya kerana tidak dapat bertemu keluarga untuk memohon maaf.

"Bagaimanapun, saya tetap bersyukur dapat menyambut raya dengan rakan-rakan sekuliah yang saya rasa macam keluarga sendiri.

"Malah apabila memakai baju Melayu semua orang pandang dan bertanya selain memuji pakaian kami. Ramai juga yang berhenti dan mengambil gambar dengan kami kerana bagi mereka warna dan gaya baju Melayu atau baju kurung ini nampak unik dan menarik," katanya.

MOHAMAD Akram Syukri (duduk tengah) menyambut perayaan Aidilfitri secara sederhana. FOTO Ihsan MOhamad Akram Syukri Mohamad Zaini
MOHAMAD Akram Syukri (duduk tengah) menyambut perayaan Aidilfitri secara sederhana. FOTO Ihsan MOhamad Akram Syukri Mohamad Zaini

Sementara itu, Penuntut Sarjana Kejuruteraan Rangkaian dan Telekomunikasi Universiti De Teknologie De Troyes di Perancis, Mohamad Akram Syukri Mohamad Zaini, 25, berkata, tahun ini masuk kali kelima dia beraya di perantauan.

"Menyambut raya di negara orang sudah semestinya berbeza dari segi suasana di mana di Malaysia sudah tentu lebih meriah.

"Di sini disambut secara sederhana dan kecil-kecilan bersama rakan namun tahun ini raya jatuh pada hari Isnin jadinya tidak berkesempatan merasa nikmat di pagi raya kerana tiada cuti," katanya.

Mohamad Akram berkata, bagaimanapun dia dapat menikmati juadah raya nasi minyak, rendang daging, ketupat dan kuah kacang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Mei 2022 @ 4:28 PM