PUTERI Aishah dapat berkumpul dengan semua adik-beradik walaupun sambut cara sederhana.
PUTERI Aishah dapat berkumpul dengan semua adik-beradik walaupun sambut cara sederhana.

Kemeriahan sambutan Aidilfitri pelakon Puteri Aishah tahun ini lebih bermakna apabila adik-beradiknya dapat berkumpul bersama.

Menurut Puteri atau nama sebenarnya Puteri Aishah Sulaiman, 22, dia lebih bersemangat meraikan lebaran bersama keluarga berbanding tahun lalu.

“Sejujurnya sambutan Aidilfitri tahun lalu kurang meriah. Adik-beradik saya tidak dapat cuti raya kerana terikat dengan kerja. Jadi hanya saya beraya dengan ibu bapa pada pagi raya.

“Suasana ketika itu tidak seperti tahun sebelumnya. Macam tak ada ‘mood’ nak beraya. Apabila dimaklumkan mereka bercuti tahun ini saya orang yang paling seronok. Sekurang-kurangnya suasana pagi raya lebih meriah dan penuh makna,” katanya.

Sambung Puteri yang juga bekas finalis Pencarian Dewi Remaja 2014/2015, meskipun dia dan adik-beradik dapat berkumpul bersama, lebaran tahun ini tetap disambut secara sederhana.

Bagi Puteri, tidak ada sebab untuknya membazir terutama soal persiapan.

“Saya dan adik-beradik dididik bersederhana. Selagi tidak penting, tak perlu beli. Adalah lebih baik menyediakan keperluan yang betul-betul mahu digunakan sahaja.

“Untuk saya, cukuplah hanya sepasang baju. Begitu juga dengan adik-beradik lain. Alhamdulillah, berkat rezeki tahun ini saya dapat menyediakan baju raya untuk keluarga,” katanya.

Selain itu, Puteri yang juga pelakon teater Randai Cindua Mato turut menyediakan duit raya buat keluarga dan kanak-kanak yang berkunjung ke rumahnya.

Berkongsi mengenai sambutan Aidilfitri baru-baru ini, Puteri tidak melepaskan peluang pulang ke kampung di Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Tahun lalu saya bercuti lama kerana tidak terbabit dengan sebarang aktiviti seni tetapi kali ini saya terikat dengan penggambaran filem Pulang pada raya keenam. Justeru, kesempatan yang ada saya manfaatkan sebaiknya dengan menziarah sanak saudara dan rakan taulan.

“Saya tiada masalah bekerja lebih awal kerana ia rezeki. Dalam masa sama saya boleh menimba pengalaman bekerja pada minggu pertama Aidilfitri. Pendek kata, ia permulaan untuk saya mempelajari perkara baru,” katanya.

Rindu zaman kecil

Bercakap mengenai sambutan lebaran, perkara paling dirindui Puteri adalah zaman kanak-kanak.

Menurut Puteri, sehingga sekarang dia tidak boleh melupakan detik indah beraya di rumah jiran tetangga untuk mengumpul duit raya.

“Ketika itu saya dan kawan-kawan akan keliling kampung. Kami main redah saja masuk rumah orang, kenal tak kenal belakang kira, janji dapat duit raya.

“Bagi saya kemeriahan Aidilfitri dahulu lebih terasa sebab dapat main mercun dan bunga api.

“Apabila sudah besar panjang, nak lakukan perkara sama pun rasa malu. Apatah lagi adik-beradik lain pun sudah besar dan lebih suka buat hal sendiri,” katanya.- Sudirman Mohd Tahir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2016 @ 5:58 AM