PANGSAPURI Sungai Baru, antara sebahagian tanah yang diambil untuk projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru. FOTO Hairul Anuar Rahim
PANGSAPURI Sungai Baru, antara sebahagian tanah yang diambil untuk projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohamad Ashyiq Haqimi


Kuala Lumpur: "Kami sekeluarga sebak, sama sekali tidak menyangka menerima notis sebegini pada bulan yang mulia ini," kata Hashim Mohd Salleh, 62.

Hashim antara penduduk dari 72 rumah pangsapuri itu yang menerima notis pengosongan kediaman susulan pengambilan tanah oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) bagi projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.

Dia yang sudah menetap di situ hampir 30 tahun turut meluahkan kekesalan kerana Borang K (Notis bahawa milikan tanah/peletakhakkan petak telah diambil) yang diterima tidak memberi tarikh terakhir untuk membuat pengosongan rumah.

"Kami terkejut kerana perlu mengosongkan rumah serta-merta tanpa memberikan tarikh sebenar untuk kami sekeluarga keluar dari rumah itu.

"Berilah masa lebih untuk kami bersedia," katanya ketika ditemui Harian Metro, di sini, semalam.

RIDZUAN (kiri) dan Hashim. FOTO Hairul Anuar Rahim
RIDZUAN (kiri) dan Hashim. FOTO Hairul Anuar Rahim

Seorang lagi penghuni, Ridzuan Yusof, 47, berkata, isu notis pengosongan kediaman serta-merta ini baginya sangat tidak prihatin kepada penghuni pangsapuri itu.

"Kita baru beralih ke fasa endemik, tambahan pula ketika ini Ramadan, pihak yang bertanggungjawab sepatutnya berbincang dengan kami untuk melanjutkan lagi tempoh pengosongan rumah di sini.

"Kasihanilah kami. Segelintir daripada kami masih lagi berusaha mencari rumah untuk menetap, lagi pula Aidilfitri sudah dekat. Tolong fikir nasib kami anak beranak," katanya.

Bagi Sarina Marion, 53, pula, pihak berkuasa sepatutnya tidak melakukan pengambilan tanah di kawasan itu yang menjadi salah satu keunikan di ibu kota.

"Pihak bertanggungjawab sepatutnya mengekalkan imej 'Kampung Baru', satu-satunya kampung di tengah bandar raya besar ini.

"Pangsapuri Sungai Baru penuh dengan nostalgia, kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri di sini seperti tinggal di kampung halaman," katanya.

Isu pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru ini bermula sejak 2016 lagi.

Baru-baru ini, penduduk di situ menerima notis mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) yang memaksa mereka perlu beredar dari tanah itu.

Bagaimanapun, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) dalam kenyataannya hari ini memaklumkan PKB selaku pemegang hak kepada rumah flat itu tiada halangan dan membenarkan bekas pemilik untuk terus mendiami rumah terbabit sehingga 31 Julai depan.

Kenyataan itu dipetik sebagai berkata, PKB akan mengeluarkan surat kebenaran kepada bekas pemilik yang terbabit selepas Borang K dikeluarkan oleh JKPTG.

Dalam pada itu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim ketika dihubungi Harian Metro berkata, beliau sudah berunding dengan Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian dan meminta supaya penilaian semula dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 8:10 PM