LAPORAN Harian Metro semalam
LAPORAN Harian Metro semalam
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Siasatan segera berhubung insiden kekecohan di luar sebuah tokong Cina di Cheras semalam perlu dilakukan bagi mengenal pati punca insiden terbabit.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, insiden sebegini tidak boleh berlaku di mana-mana tempat demi menjaga prinsip sebagai Keluarga Malaysia yang tercinta.

"Insiden kekecohan yang tercetus di luar sebuah tokong Cina di Cheras, berlaku apabila sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi didakwa menyerang anggota polis, serta cubaan merosakkan jentolak, disebabkan salah anggap bahawa pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat mereka (Tokong Cina Chee How).

"Untuk makluman, di kawasan berkenaan terdapat Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tai Thung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Sungai Besi yang mempunyai 24 kelas yang akan dibina.

Manakala kedudukan Tokong Cina Chee How adalah berdekatan dua sekolah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, surat pemberitahuan pengosongan tapak iaitu tempoh selama 14 hari dari tarikh notis sudah dikeluarkan pada 6 Mei oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Putrajaya.

"Notis pemberitahuan pengosongan itu dibuat terhadap struktur gelanggang bola keranjang, pondok pengawal, tempat letak kenderaan, struktur jejantas dan struktur pejalan kaki berbumbung yang berada bersebelahan tokong terbabit.

"Pihak JKPTG, Pejabat Tanah Galian Kuala Lumpur (PTGWPKL) dan kontraktor hadir ke lokasi pada 28 September (Selasa) bagi kerja-kerja membina pagar penghadang bersebelahan Tokong Cina Chee How untuk pembinaan laluan masuk ke tapak projek SMK Jalan Sungai Besi, bukan untuk merobohkan sebarang binaan tokong seperti tanggapan sekumpulan penganut berkenaan," katanya.

Jalaluddin berkata, walaupun keadaan berjaya diredakan, namun perkara ini perlu dipandang serius kerana membabitkan kekeruhan persepsi antara penganut kepercayaan dengan pihak berkuasa.

"Apatah lagi ia cuba dimanipulasi dan dieksploitasi di media sosial oleh sesetengah pihak, sehingga berisiko besar untuk menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan mengugat ketenteraman awam.

"Justeru, saya pohon pihak berkuasa berkaitan dapat menyegerakan kes siasatan ini supaya punca permasalahan insiden tersebut dapat kita peroleh segera, dan tindakan susulan dapat diselesaikan dengan harmoni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 8:55 PM