Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Dr Radzi Jidin. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mahaizura Abd Malik

Johor Bahru: Kementerian Pendidikan akan menghentikan sistem penggiliran murid sekolah rendah pada masa sesuai mengikut keadaan, ketika negara beralih ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pihaknya juga tidak akan menunggu sehingga kadar vaksinasi dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) mencapai 100 peratus bagi menghentikan sistem penggiliran itu.

"Dalam konteks ini, kita tidak melihat (peratusan vaksinasi murid sekolah rendah), kalau kita tidak capai peratusan yang kita sasarkan misalnya, 100 peratus tetapi jika peratusan vaksinasi tidak meningkat, jadi sampai bila kita hendak gilirkan anak-anak?

"Adakah kita tidak akan buka sekolah sepenuhnya? Jadi, kita tidak memutuskan (melihat) kepada nisbah atau peratusan vaksinasi tetapi kita akan melihat kepada keadaan semasa dan berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Apa yang penting sampai masa sesuai, kita akan kembalikan murid sekolah rendah termasuk sekolah yang muridnya melebihi 600 orang tanpa sistem penggiliran.

"Kita akan pastikan anak-anak ini dapat hadir ke sekolah tanpa penggiliran dalam mana negara sedang berpindah ke fasa endemik," katanya pada sidang media selepas Sesi Penerangan Akujanji Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada kementerian akan meletakkan sasaran pengambilan vaksinasi dalam program PICKids untuk menghentikan sistem penggiliran sekolah rendah.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, pada masa ini data KKM merekodkan 32.3 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun mengambil vaksin berbanding pelajar sekolah menengah yang mencapai lebih 50 peratus.

"Kadar vaksinasi masih rendah berbanding sekolah menengah, sebab itu kita juga sentiasa bekerjasama rapat dengan KKM supaya dapat membantu apa saja dalam memudah cara proses anak-anak ini (divaksinasi).

"Kita juga memastikan kemudahan diperlukan di sekolah serta memaklumkan ibu bapa jadual berkaitan vaksinasi yang ditetapkan KKM.

"Dalam konteks ini, kita ingin pastikan sebaiknya lebih ramai anak-anak sekolah divaksin supaya mereka dapat hadir ke sekolah dalam keadaan selamat, maka ibu bapa perlu membuat keputusan terbaik untuk anak-anak mereka," katanya.

Kelmarin, Radzi dilaporkan berkata, sekolah rendah yang mempunyai jumlah enrolmen melebihi 600 murid perlu mengadakan pembelajaran bersemuka secara penggiliran bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Lima pada Penggal 1 Sesi Persekolahan 2022/2023, tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mac 2022 @ 6:31 PM