GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sekiranya ibu bapa memilih untuk tidak menghantar anak mereka ke sekolah, ketidakhadiran itu tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ia seperti yang dilaksanakan sebelum ini.

"Ibu bapa yang tidak menghantar anak mereka ke sekolah ini perlulah memaklumkan mengenai hal itu kepada pihak sekolah, untuk tujuan rekod," katanya.

Penggal Satu Sesi Persekolahan 2022/2023 akan bermula 21 Mac ini di seluruh negara.

Namun, pelajar sekolah menengah akan menjalani Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sehingga 4 April manakala bagi sekolah rendah yang mempunyai kapasiti murid melebihi 600 orang, hanya Tahun 3 sehingga Tahun 5 sahaja perlu hadir ke sekolah secara penggiliran.

Berita berkaitan:

Radzi berkata, pengoperasian sekolah kali ini lebih terbuka dan dapat dilihat hampir keseluruhan murid akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran, namun begitu pihaknya akan terus memantau keadaan dari masa ke semasa untuk memastikan bilakah tarikh sesuai supaya kesemua mereka ini dapat belajar tanpa penggiliran.

"Apa yang penting, ketika sesi pembukaan sekolah nanti, KPM berharap ibu bapa, murid, guru dan seluruh warga pendidik ini dapat bersama-sama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sama-samalah kita pastikan sesi persekolakan ini dapat berlangsung dengan selamat, teratur dan anak kita dapat datang ke sekolah secara bersemuka, seperti sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 12:44 PM