(DARI KIRI) Bergson da Silva,  Kpah Sherman dan Ifedayo Olusegun.
(DARI KIRI) Bergson da Silva, Kpah Sherman dan Ifedayo Olusegun.

Kuala Lumpur: Perseteruan merebut Anugerah Kasut Emas pada musim 2022 pastinya lebih sengit berbanding sebelum ini.

Lima penyerang dari lima pasukan terdiri daripada Bergson da Silva dari Johor Darul Ta'zim (JDT), ayam tambatan import Terengganu FC, Kpah Sherman dan Ifedayo Olusegun yang kini beraksi buat Melaka United antara tonggak musim lalu yang masih beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.

Penyerang baharu Selangor dari Brazil, Hyuri Henrique dan penjaring terbanyak Penang FC musim lalu, Casagrande pastinya akan memberi tekanan dari belakang untuk memburu anugerah penjaring terbanyak musim ini.

Bergson yang memenangi Kasut Emas pada musim lalu sebenarnya turut dicabar oleh rakan sepasukannya iaitu Fernando Forestieri yang bakal menjadi watak pembantu selaku penyerang sokongan dibelakangnya.

Jaringan cantik yang dilakukan Forestieri ketika menjaringkan gol kedua menentang Kuala Lumpur City FC dalam aksi Sumbangsih Sabtu lalu memberi gambaran betapa bekas penyerang Sheffield Wednesday itu turut bersedia merampas mahkota penjaring terbanyak musim ini.

Malah berdasarkan tanda harga yang terdapat di laman sesawang www.transfermarkt.co.uk, Forestieri muncul pemain termahal daripada tonggak import lain dengan nilai 900,000 Euro atau RM4.2 juta.

Kedudukan itu jauh meninggalkan pemain lain dengan Hyuri pada harga RM3 juta diikuti Bergson (RM2.1 juta), Kpah Sherman dan Ifedayo (RM1.7 juta) dan Casagrande (RM1 juta).

Sudah tentunya nilai berkenaan menggambarkan kualiti yang ada pada setiap pemain terbabit sekaligus memberi petanda bahawa persaingan merebut gelaran penyerang berbisa musim ini sengit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 7:01 AM