IFEDAYO mengakui kualiti Bergson antara penyerang terbaik pernah disaksikannya. FOTO OWEE AH CHUN
IFEDAYO mengakui kualiti Bergson antara penyerang terbaik pernah disaksikannya. FOTO OWEE AH CHUN
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun menganggap kehadiran penyerang baharu JDT, Bergson da Silva sebagai sesuatu yang positif agar dia boleh mempertingkatkan lagi prestasinya bersama Selangor selain lebih bermotivasi bagi mempertahankan gelaran penjaring terbanyak Liga Super yang dimenanginya, musim lalu.

Menghormati kemampuan penyerang berusia 30 tahun berkenaan yang sudah menjaringkan lapan gol dalam enam perlawanan yang diturunkan, Ifedayo tidak melihat kehadiran Bergson sebagai ancaman malah menjadikan saingan Liga Malaysia (Liga M) semakin kompetitif.

Bagi Ifedayo, berdasarkan pengalamannya melihat aksi Bergson ketika turun menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 17 Mac lalu, dia mengakui kualiti penyerang yang dipinjamkan dari kelab Fortaleza itu antara terbaik pernah disaksikan.

Selain Bergson, dia juga menamakan penyerang Kedah, Kpah Sherman yang sudah menjaringkan lima gol antara calon bergelar penjaring terbanyak Liga Super, musim ini.

"Selepas pernah berdepan dengan Bergson dalam perlawanan lalu, dia memang seorang pemain yang bagus dan berkualiti, memang antara penyerang luar biasa selain Sherman di Kedah.

"Dia (Bergson) sudah melakukan tugasan yang cemerlang bersama pasukannya dengan membantu pasukan dan pujian kepadanya kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang penyerang.

"Jika kita mahu memenangi sesuatu, tiada jalan mudah sebenarnya dan saya lebih sukakan situasi sebegini kerana akan menuntut saya bekerja keras apabila menyedari ada seseorang yang berada di tahap lebih baik buat masa sekarang.

"Sudah tentu saya akan lebih bermotivasi dan akan menekan diri saya berikan yang terbaik dalam tiap perlawanan bagi mendapatkan lebih banyak jaringan sehingga aksi terakhir.

"Saya tidak mahu terlalu memikirkan mengenai pertahankan gelaran penjaring terbanyak kerana apa yang jadi sasaran saya ialah secara purata mahu mendapatkan satu gol dalam tiap perlawanan yang dilalui selain membantu Selangor meraih kemenangan, " katanya.

Musim lalu, Ifedayo muncul pemenang Kasut Emas secara keseluruhan selepas menjaringkan 12 gol dalam 11 perlawanan selain memenangi gelaran penjaring terbanyak Liga Super, mengatasi Shahrel Fikri dengan perbezaan dua jaringan.

Ifedayo meledak hatrik ketika membantu Selangor membenam cabaran Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang meletakkan dia kini di tangga kedua senarai penjaring terbanyak dengan lima jaringan.

Sebelum ini, kemampuannya menjadi sedikit pertikaian dalam kalangan penyokong Selangor apabila sekadar menjaringkan dua gol dalam tujuh perlawanan.

Dalam pada itu, Ifedayo akui Selangor sudah mula menemui prestasi yang konsisten selepas permulaan yang tidak menentu dalam beberapa perlawanan awal Liga Super.

"Kami semakin baik dari perlawanan ke tiap perlawanan dan kemenangan bertemu Perak menandakan yang pasukan ini berada di satu tahap lebih baik ketika tewas kepada Kedah.

"Saya rasakan perubahan yang semakin positif dalam Selangor kerana keserasian sesama kami tampak kian meningkat, cuma keputusan saja belum memihak kami.

"Pasukan ini mempunyai ramai pemain baharu, begitu juga pemain muda selain sistem yang berbeza berbanding musim lalu, jadi semua perkara ini akan mengambil sedikit masa sebelum sesuatu yang hebat mampu berlaku, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 April 2021 @ 11:28 PM