Agensi

Seoul: Korea Selatan memperkenalkan pelitup muka baharu yang hanya melitupi hidung pemakainya sehingga menimbulkan sensasi di media sosial barat.

Oddity Central melaporkan pelitup muka dipanggil kosk iaitu gabungan ko (hidung) dan mask (pelitup) itu dijual oleh sebuah syarikat di negara itu.

Pelitup muka luar biasa itu dijual oleh syarikat Korea Selatan Atman terdiri daripada dua bahagian iaitu boleh ditanggalkan untuk membiarkan mulut pemakai terdedah.

Ia nampaknya direka untuk memberikan beberapa tahap perlindungan terhadap Covid-19 ketika makan, tetapi juga boleh dipakai dalam mod hidung sahaja pada bila-bila masa.

Kosk hanyalah satu daripada pelitup muka hidung yang terdapat di Korea Selatan dan menjadi trend luar biasa hingga mencetuskan beberapa kontroversi di barat dengan ramai yang mengisytiharkan aksesori muka itu tidak berguna sama sekali.

PELITUP muka dipanggil kosk iaitu gabungan ko (hidung) dan mask (pelitup) yang menimbulkan kontroversi.
PELITUP muka dipanggil kosk iaitu gabungan ko (hidung) dan mask (pelitup) yang menimbulkan kontroversi.

"Tiada perbezaan dengan orang yang memakai pelitup muka di bawah hidung mereka," seorang pengguna Twitter bertindak balas terhadap pelitup muka kosk.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan hidung adalah laluan paling mudah untuk koronavirus memasuki tubuh manusia dan sesetengah pakar kesihatan percaya pelitup hidung itu adalah lebih baik daripada tidak memakai topeng muka sama sekali.

"Ia hanya mungkin perbezaan kecil," Profesor Catherine Bennett, Pengerusi Epidemiologi dalam Institut Transformasi Kesihatan Deakin mengulas sambil menambah ia masih 'idea pelik'.

Walaupun mendapat pelbagai kecaman, kosk diberi penarafan lima bintang daripada 118 ulasan di platform beli-belah Korea Selatan Coupang, di mana satu pek di dalamnya mempunyai 10 pelitup muka dijual dengan harga 9,800 won (RM34.18).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 7:30 AM