ANTARA bahagian kapal yang ditemui. FOTO ihsan pembaca
ANTARA bahagian kapal yang ditemui. FOTO ihsan pembaca
Asrol Awang


Kuantan: Perbadanan Muzium Negeri Pahang dan Jabatan Warisan Negara (JWN) menjalin kerjasama memulihara artifak rangka kapal yang ditemui selepas banjir surut di Kampung Pagar, Mukim Penjom, Lipis baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setakat ini, Muzium Pahang, JWN bersama masyarakat kampung sudah menjalankan proses mendokumentasi, merekod dan memelihara artifak itu.

Katanya,artifak itu ditempatkan di Muzium Warisan Lipis yang kini di dalam pengawasan dan penjagaan oleh Pejabat Daerah Lipis.

"Penyelidikan pada fasa seterusnya dijangka melalui proses ekskavasi arkeologi di lokasi kapal itu ditemui untuk mendapat maklumat secara saintifik dan memastikan kesuluruhan artifak yang tertinggal dapat ditemukan.

"Daripada tinjauan, lebih 100 pecahan kayu ditemui yang dipercayaisebahagian daripada badan kapal itu berdasarkan morfologi dan jenis kayu dan paku.

"Turut ditemui sejumlah seramik dagangan yang seusia dengan relik kapal itu yang terdiri daripada seramik China dan Eropah di sekitar tapak jumpaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sharkar berkata, daripada analisis awal, kapal berkenaan kemungkinan jenis kapal wap sepanjang 25 hingga 300 meter panjang.

Katanya, berdasarkan rekod sejarah di kawasan itu, kapal berkenaan boleh dikaitkan dengan kegiatan perlombongan emas di Penjom yang beroperasi sejak abad ke-19.

"Beberapa kapal jenis kapal wap beroperasi atau melalui di sepanjang sungai Pahang di Kuala Pahang, pekan sehingga sungai Lipis.

"Antaranya SS Amherst yang dilaporkan karam di Kuala Pahang dan kapal Seri Pahang yang dipercayai karam di Paloh Hinai, Pekan.

"Berdasarkan rekod, sebuah kapal pernah beroperasi di kawasan ini iaitu SS Senyum yang beroperasi dengan syarikat perlombongan emas Penjom, namun tiada rekod ia karam," katanya.

Berita berkaitan:

  • Sila pulang semula komponen, barangan kapal lama
  • Kapal lama dipercayai tahun 1800-an ditemui selepas banjir
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 11:38 AM