UBAT batuk dimasukkan dalam masakan ayam. FOTO TikTok/igrobflo
UBAT batuk dimasukkan dalam masakan ayam. FOTO TikTok/igrobflo
Agensi

Washington: Pakar perubatan Amerika Syarikat memberi amaran trend merebus ayam menggunakan sirap ubat batuk boleh mengundang risiko keracunan makanan.

Pakar Perubatan dan Pembantu Klinikal Profesor Perubatan Keluarga, Virginia Commonwealth University, Dr Aaron Hartman berkata, kaedah masak seperti itu boleh menyebabkan makanan menjadi racun.

"Apabila kamu masak ubat batuk seperti NyQuil, didihkan air dan alkohol di dalamnya, ia membuatkan dadah pekat dalam daging ayam itu.

"Selepas itu kamu makan salah satu daripada potongan daging yang dimasak sepenuhnya, ia seolah-olah kamu benar-benar mengambil satu perempat hingga setengah botol NyQuil.

"Berkemungkinan ia akan membawa kepada penyakit dan cirit-birit," katanya kepada MIC.com seperti dilaporkan Daily Star.

Kaedah memasak hidangan dikenali sebagai NyQuil chicken sebagai satu ikhtiar merawat gejala selesema itu kini menjadi trend.

Dalam satu klip video dimuat naik seorang lelaki dikenali Rob, dia meletakkan dua dada ayam ke kuali dan menggorengnya pada suhu rendah.

Dia kemudian menuang sirap biru kehijauan ke atas ayam dan biarkan ia mendidih selama 30 minit.

Peliknya, dia menggunakan seterika pelurus rambut mini untuk membalikkan ayam supaya kedua-dua bahagian berperasa.

"Kadang-kadang wap itu membuatkan kamu mengantuk.

"Selepas itu, toskan semula sirap ubat yang tidak digunakan itu ke dalam tin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 7:15 AM