GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Empat produk ubat batuk dan selsema jenis sirap keluaran syarikat Maiden Pharmaceuticals, India yang dikaitkan dengan kematian seramai 66 kanak-kanak di Gambia, didapati tidak berdaftar di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara itu diketahui hasil daripada siasatan yang dilakukan terhadap pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"NPRA akan terus menjalankan pemantauan secara berterusan berkaitan kejadian berkenaan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin.

"KKM akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan sebanyak 66 kanak-kanak maut di Gambia selepas minum ubat batuk jenis Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup yang dikilangkan oleh pengilang Maiden Pharmaceuticals.

Terdahulu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran mengenai empat sirap ubat batuk dan selsema berkenaan yang dikaitkan dengan kematian itu.

Selain itu, Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) juga memberi amaran sama bahawa ubat-ubatan yang tercemar itu mungkin sudah diedarkan di luar negara Afrika Barat, dengan 'kemungkinan wujud pendedahan global'.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 11:48 AM