Redzuan Muharam

Seri Kembangan: Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal, Nur Izhar Idham tidak mensia-siakan platform digital malah memanfaatkannya sebagai medium berkongsi ilmu mengenai kepelbagaian kaedah menggunakan kerusi roda dengan pengikut TikToknya, @braderwheelchair.

Antara perkongsian video yang mendapat perhatian pengikut dan meraih tontonan ramai adalah mengenai cara naik dan turun daripada eskalator menggunakan kerusi roda, alihkan badan ke kerusi dan keluar daripada kereta.

Nur Izhar yang menetap di Puncak Jalil, di sini berkata, niatnya memuat naik video di TikTok bukan untuk menunjuk kemahiran yang ada atau mengajak sesiapa melakukan aksi berbahaya sebaliknya hanya mahu memberi kesedaran kepada masyarakat terutama komuniti OKU sendiri.

"Apa yang saya cuba sampaikan menerusi video itu adalah kemahiran asas menggunakan kerusi roda.

"Kaedah saya gunakan dalam video itu sebenarnya dipelajari daripada rakan OKU otai dan pusat rehabilitasi yang bukan hanya sesuai dipraktikkan dalam rutin seharian tetapi juga ketika kecemasan.

"Bagaimanapun, ramai juga dalam kalangan OKU yang yang tidak tahu malah ada di antara mereka hantar kiriman mesej kepada saya selepas menonton video untuk bertanya pelbagai perkara dengan lebih lanjut," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nur Izhar, dia merancang memuat naik lebih banyak video dari semasa ke semasa walaupun ada juga kecaman diterima di sebalik ucapan terima kasih dan pujian.

"Kebanyakan maklum balas adalah positif namun ada juga mengecam terutama di ruangan komen video saya menunjukkan cara turun daripada eskalator menggunakan kerusi roda.

"Saya tidak terkesan dengan kecaman itu kerana lebih ramai faham mesej cuba disampaikan. Apa lebih penting, perkongsian itu mengandungi ilmu bermanfaat untuk semua yang menonton," katanya.

AKSI dilakukan Nur Izhar ketika melakukan bungy jump (kiri) dan perkongsian cara menggunakan kerusi roda ketika turun dari eskalator. FOTO Ihsan Nur Izhar Idham
AKSI dilakukan Nur Izhar ketika melakukan bungy jump (kiri) dan perkongsian cara menggunakan kerusi roda ketika turun dari eskalator. FOTO Ihsan Nur Izhar Idham

Bercerita lanjut kisahnya, Nur Izhar berkata, dia dilahirkan normal namun kemalangan motosikal yang berlaku ketika berusia 18 tahun menyebabkannya koma selama 10 hari dan hilang keupayaan berjalan.

Insiden itu meninggalkan kesan mendalam buat Nur Izhar yang mengalami kemurungan selama dua tahun.

"Kemalangan berlaku ketika saya di semester satu dan baru tiga bulan mengikuti pengajian Diploma Automotif Mekanikal di sebuah kolej.

"Selepas kejadian itu, saya berhenti kolej kerana tiada semangat untuk teruskan pengajian dan selepas emosi pulih, saya cuba cari kerja berbekalkan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Agak sukar juga pada mulanya malah banyak kali juga saya 'lompat' tempat kerja namun kini semakin stabil dan bekerja sebagai pegawai bank," katanya.

Biarpun ada kekurangan, Nur Izhar berkata, dia pernah aktif sebagai atlet ping pong yang mewakili negara sejak 2017 selain bersama pasukan Selangor daripada 2014 hingga 2017 sebelum beralih ke pasukan Perak bermula 2018 hingga kini.

"Saya juga gemar mengembara secara solo dan salah satu pengalaman tidak dapat dilupakan adalah peluang melakukan aksi ekstrem iaitu terjunan lelabah atau 'bungy jump'' dan Canyon Swing dengan duduk di atas kerusi roda ketika berada di New Zealand.

"Ia sangat menyeronokkan dan bukti OKU seperti saya juga mampu melakukannya," katanya yang sudah berumah tangga pada Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 January 2022 @ 8:00 PM