KEBERANIAN nyata teruji saat badan mulai dijatuhkan.
KEBERANIAN nyata teruji saat badan mulai dijatuhkan.
HARIS yang bersahaja saat membuat terjunan.
HARIS yang bersahaja saat membuat terjunan.
ABAH-ABAH digunakan untuk keselamatan diri.
ABAH-ABAH digunakan untuk keselamatan diri.
PENULIS melakukan lompatan ketinggian 21 meter di Sunway Lagoon.
PENULIS melakukan lompatan ketinggian 21 meter di Sunway Lagoon.
Suliati Asri


Rasa takut, gementar, gemuruh dan teruja bergabung menjadi satu. Tatkala sudah sedia, perlahan-lahan dengan kaki yang terikat, langkah diatur kemas ke hujung pelantar.

Selepas mendapatkan maklumat mengenai langkah yang perlu dilakukan, hati mulai berdebar-debar.

Mahu saja membatalkan hasrat. Namun, kerana ingin merasai sendiri perasaan dan pengalaman yang cukup bermakna itu, niat tetap diteruskan.

Kiraan 3,2, 1 nyata menambahkan debaran. Menggigil? Itu sudah satu kemestian.

Apabila kekuatan dan keberanian sudah dirasakan cukup, tanpa berfikir panjang, badan akhirnya ‘dijatuhkan’ juga.

Saat itu, jeritan kuat yang dilaungkan bukan saja menggambarkan ketakutan dirasai, tetapi mewakili semua rasa yang ada.

Mulanya, terasa bagaikan diri jatuh tanpa sebarang tali yang memegang dan situasi itu dipanggil ‘freefall’.

Ketika itu, terasa bagaikan jatuh dan perasaan menyesal itu datang.

Bagaimanapun, selepas lebih kurang empat saat, tali yang diikat mula menyentap, baru boleh merasai keseronokan saat membuat terjunan kerana merasa diri sudah selamat.

Saat itu, mata yang sedari tadi di pejam mulai dibuka melihat pemanda­ngan yang terpampang.

“Terbang bagaikan burung yang bebas.” Hanya itu yang boleh diungkapkan untuk menyimpulkan segala rasa yang dirasai penulis saat melakukan salah satu sukan ekstrem yang memang menggerunkan, tetapi memberikan keseronokan dan keterujaan yang tersendiri. Itulah bungy jump di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bungy jump pertama di Malaysia

Terjunan lelabah atau ‘bungy jumping’ adalah aktiviti ekstrem paling memacu adrenalina kerana hanya menggunakan tali untuk melompat dari tempat yang sangat tinggi.

Ia juga adalah aktiviti yang memerlukan seseorang itu terjun dari kawasan ting­gi dengan kedua-dua kaki diikat. Kebiasaannya, jarak ketinggian melebihi 20 meter atau bersamaan ketinggian bangunan sembilan tingkat.

Aktiviti ini terkenal di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah.

Aktiviti ekstrem ini dilakukan di negara ini sejak 2010 dengan ketinggian 22 meter yang menyamai ketinggian bangunan sembilan tingkat di Sunway Lagoon yang dikenali sebagai Bungy Jump Sunway Lagoon.

Menjadi satu-satunya atau pertama di negara ini, platform terjunan di bungy jump Malaysia ini terletak di jambatan gantung yang terpanjang di dunia di Sunway Lagoon.

Bagaimanapun, menerusi berat minimum 40 kilogram (kg) dan maksimum 235kg, lompatan ini boleh dilakukan sesiapa saja yang memenuhi kriteria berat badan ditetapkan.

Kanak-kanak yang ingin mencuba aktiviti ini perlu mendapatkan kebenaran ibu bapa terlebih dulu.

Dikawal selia kakitangan terlatih peringkat antarabangsa, segala kelengkapan atau peralatan yang digunakan juga adalah selamat dan mematuhi standard antarabangsa yang ditetapkan.

Saat melakukan lompatan ini, anda digalakkan untuk berada dalam keadaan tenang supaya tidak mengalami kecederaan.

Selain itu, mengikuti segala arahan adalah penting kerana boleh saja tali yang digunakan terbelit atau hal lainnya yang tidak diingini.

Keseronokan yang tetap mendebarkan

Persis jatuh bangunan atau ke dalam gaung, bungy jump ini juga antara aktiviti yang cukup unik kerana walau berapa kali terjunan dilakukan, perasaan gemuruh, takut, gementar akan tetap dirasai.

Itu juga yang dirasai penggemar aktiviti ekstrem terutama bungy jump, Mohd Haris Bakeri, 30.

Walaupun sudah hampir 30 kali melakukan terjunan di beberapa lokasi di serata dunia, perasaan takut dan gerun masih ada.

Memulakan lompatan bungy jump ini buat kali pertama ketika usia 24 tahun di Bali, Indonesia debaran sudah mula dirasai saat melihat lokasi terjunan itu.

“Apabila sudah siap memakai abah-abah dan seterusnya kaki diikat dengan tali khas, pelbagai rasa yang bermain difikiran.

“Kenapa aku buat benda ni,” tanya Haris kepada diri­nya ketika itu.

Kiraan 3,2, 1 nyata menambahkan debaran dan kerana ingin mencuba, jatuhkan juga badan.

Tetapi, apabila sudah melepasi empat saat dan ketika itu tali sudah menyentap, keseronokan yang dirasai tidak tergambar dengan kata-kata.

“Usai saja ikatan di kaki di buka, jeritan puas memecah keheningan,” cerita Haris.

Dari Bali, Haris meneruskan keseronokan melakukan aktiviti ekstrem ini dengan membuat lompatan pertama, kedua dan hingga sekian kalinya di New Zealand iaitu antara lokasi bungy jump yang cukup terkenal di dunia.

“Sekitar 2010, saya memulakan pengembaraan di New Zealand di atas visa bekerja untuk mencuba setiap bungy jump serta aktiviti ekstrem lain yang ada di negara itu.

“Kemudiannya, pada 2013 saya berpeluang bekerja di salah satu syarikat pengendali aktiviti yang cukup popular di sana,” katanya.

Bermula dari situ, Haris membuat banyak terjunan. Namun, perasaan seperti kali pertama melakukan aktiviti itu tetap terasa.

“Sejujurnya, walaupun sudah membuat terjunan lebih kurang 30 kali, perasaan takut tetap dirasai.

“Ada kalanya, terbayang bahaya yang menanti dan wajah insan tersayang bermain di fikiran.

“Namun, semua itu bagaikan berlalu begitu sahaja bersama jeritan keseronokan yang dirasai saat terjun,” katanya.

Tawar pemandangan memukau

Sesuatu yang membuatkan Haris begitu teruja dan ingin melakukan aktiviti ini di banyak tempat kerana pengalaman dan suasana yang dirasai di setiap lokasi Bungy Jump itu adalah berlainan.

“Di setiap lokasi bungy jump, suasana dan pemandangan yang dirasai sangat berbeza.

“Masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri dan pastinya tidak sama dengan setiap lokasi walaupun ia berada di negara yang sama,” katanya.

Seperti di New Zealand, lokasi bungy jump ini sangat pelbagai. Ada yang terjun di kawasan lembah, sungai, empangan dan banyak lagi.

Semua lokasi itu pastinya memberikan suasana yang berbeza dengan pemandangan yang sangat mengujakan.

“Di New Zealand, Shotover Canyon Swing adalah lokasi bungy jump yang cukup mengerunkan, tetapi sangat mengujakan.

“Dengan hanya berketinggain lebih kurang 100 meter dan di bawahnya adalah sungai yang mengalir deras, perasaan takut itu sangat pasti. Namun, pemandangan yang disajikan sememangnya cukup menakjubkan,” katanya.

“Lompatan yang diberi nama ‘Chair of Dead’ juga sesuatu yang cukup menggerunkan, tetapi percayalah ia sangat mengujakan.

“Dengan badan yang diikat bersama kerusi dan kemudiannya dicampak ke bawah bersama dengan kerusi itu adalah sesuatu yang mengujaka.

“Selain kerusi, ada juga antara peminat aktiviti ekstrem ini terjun bersama basikal, terjun berdua dan banyak lagi yang boleh dilakuakan di Canyon Swing itu,” tambah Haris.

Merancang untuk terjun di Menara Macau pada tahun depan, kata haris, aktiviti bungy jump ini adalah aktiviti yang menawarkan banyak rasa dalam satu lompatan dan ia adalah aktiviti yang perlu dicuba walau hanya untuk sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 April 2016 @ 12:13 PM