BERNAMA

Kuala Lumpur: Pihak pengurusan Sunway Pyramid mendakwa eskalator pusat beli-belah itu disalahgunakan sebelum berlaku kejadian tidak diingini kelmarin, mengakibatkan remaja perempuan cedera betisnya.

Pengurusan itu dalam kenyataan rasminya semalam, menyatakan hasil siasatan mendapati terdapat penyalahgunaan eskalator itu, termasuk penggunaan kereta sorong bayi, sekaligus menunjukkan kurangnya etika sebagai faktor penyumbang terhadap insiden buruk itu.

"Pihak pengurusan pusat membeli-belah ini bersama-sama OTIS serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memeriksa pelbagai sumber dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan," kata kenyataan itu.

Insiden itu yang tular di media sosial menunjukkan mangsa terduduk di tepi eskalator dengan luka di betis, ditenangkan rakan-rakannya.

Menurut kenyataan itu, pelajar berusia 20 tahun itu semakin pulih dan kini dalam penjagaan yang baik di hospital berhampiran.

Kenyataan itu berkata, pusat beli-belah berkenaan akan memasang besi penghadang di semua eskalatornya bagi mengelak kereta sorong bayi, troli, kerusi roda atau sebarang bentuk barangan seumpama itu daripada menggunakan eskalator.

"Pihak pengurusan pusat membeli-belah juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pengguna agar mematuhi peraturan menggunakan eskalator seperti pandang ke hadapan dan berdiri di antara garisan kuning dan bukan bersandar di susur tangan yang bergerak," kata kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 12:09 AM