SEORANG daripada dua cucu Clara Lutz yang terselamat daripada taufan. FOTO Agensi
SEORANG daripada dua cucu Clara Lutz yang terselamat daripada taufan. FOTO Agensi
Agensi

Mayfield: Seorang nenek bersyukur selepas dipertemukan semula dengan cucunya yang 'diterbangkan' ribut di Kentucky, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.

Ketika kejadian, dua cucunya Kaden dan Dallas itu diletakkan di dalam tab mandi sebelum ribut memusnahkan rumah mereka.

Clara Lutz berkata kepada media tempatan, dia menjaga dua cucunya masing-masing berusia 15 bulan dan tiga bulan.

Sebelum kejadian dia mengetahui ribut mungkin akan membadai kawasan kediamannya lalu membuat persediaan awal.

Dia meletakkan cucunya bersama selimut di dalam tab mandi berkenaan agar mereka mudah diselamatkan kelak.

"Saya rasa gemuruh dan rumah bergegar selepas angin kuat mula membadai.

"Ketika itu, angin terus menerbangkan tab mandi bersama cucu walaupun saya cuba untuk memeluk tab itu.

"Saya tidak mampu menahan pukulan ribut berkenaan sehingga tab mandi itu diterbangkan," katanya seperti dilaporkan agensi berita WFIE.

Akibat kejadian itu juga rumahnya mengalami kerosakan teruk dan peralatan rumah bertebaran dibawa ribut.

Dalam keadaan cemas, Lutz yang turut cedera di kepala akibat dihempap tangki air bergegas mencari cucunya.

Dia tidak menghiraukan kesakitan dan hanya mahu mencari cucunya yang sudah hilang dari pandangan.

Tidak lama selepas itu, pegawai polis pergi mendapatkan Lutz dan membawa bersama dua cucunya yang ditemui di halaman rumah.

Bayi berkenaan dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

"Saya masuk ke kereta polis yang berada di hujung jalan dan tidak lama selepas itu mereka membawa cucu saya," katanya.

Mereka bertiga kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan dan disahkan sihat tanpa komplikasi serius.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Disember 2021 @ 6:30 AM