Zaara Talita


KALAU tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya.

Begitu yang boleh disifatkan dengan bakat nyanyian dimiliki pelakon jelita Datin Paduka Eina Azman atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman.

Biarpun pembabitannya dalam dunia seni tertumpu kepada bidang lakonan dan wajah kepada produk masakan, namun rezeki Tuhan tiada siapa menduga.

Semuanya bermula apabila dia menyertai satu program realiti nyanyian, Eina mengakui dirinya kurang berkeyakinan dalam bidang itu.

Menerima banyak permintaan daripada peminat, Eina akhirnya mencabar diri untuk keluar dari zon selesa apabila bakal menampilkan single pertama tidak lama lagi.

"Mungkin ramai yang tidak tahu saya ini kurang keyakinan untuk menyanyi. Saya terfikir sedap ke suara saya? Namun, sejak saya sertai program realiti nyanyian itu, baru saya ada rasa yakin untuk menyanyi.

MENGAKUI kurang keyakinan, Eina berhasrat untuk mencuba cabang seni lain iaitu bidang nyanyian.
MENGAKUI kurang keyakinan, Eina berhasrat untuk mencuba cabang seni lain iaitu bidang nyanyian.

"Apatah lagi, ada juga rakan-rakan dan peminat yang meminta saya mengeluarkan single. Jadi bagi saya, tak salah untuk saya keluar dari zon selesa dan mencabar diri untuk mencuba sesuatu yang baharu.

"Lagu pun dah ada, tapi tajuk dan genre belum dapat dikongsikan kepada umum. Insya-Allah dalam masa terdekat ini saya akan keluar single baharu," katanya.

Menurut Eina, sokongan diberikan suami, Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah membakar semangatnya untuk mencuba cabang seni yang berbeza.

BAKAL tampil dengan single terbaharu dalam tempoh terdekat.
BAKAL tampil dengan single terbaharu dalam tempoh terdekat.

Malah, ibu kepada pasangan kembar Arianna Aubrey dan Karl Kareef itu juga membina keyakinan diri untuk merancakkan lagi portfolio seninya.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya dalam bidang lakonan, Eina berhasrat untuk meneruskan penggambaran Kampung Pisang Berbuah Dua Kali di bawah arahan Amen Khalid iaitu anak keempat Allahyarham Mamat Khalid.

Terkedu apabila dimaklumkan mengenai pemergian penerbit dan pengarah terkenal itu yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 24 Oktober lalu, Eina bakal kembali ke lokasi penggambaran dalam tempoh terdekat ini.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan oleh kakak saya mengenai pemergian abang Mamat. Terkedu ketika menerima panggilan pada tengah malam, berkali-kali saya meminta kakak saya membuat kepastian.

SOKONGAN suami banyak membakar semangat Eina untuk aktif dalam bidang nyanyian.
SOKONGAN suami banyak membakar semangat Eina untuk aktif dalam bidang nyanyian.

"Ralat menyelubungi diri kerana saya seharusnya memulakan penggambaran pada 3 November lalu. Biarpun jadual sedikit padat, namun saya meminta untuk mengisi slot buat abang Mamat.

"Kali terakhir saya berlakon di bawah arahan arwah menerusi filem Zombie Kilang Biskut yang ditayangkan pada 2014.

"Beberapa kali pihak produksi menekankan abang Mamat ingin saya berlakon dalam karyanya ini. Oleh itu, isteri abang Mamat ada menelefon meminta saya menjayakan naskhah ini, tetapi di bawah arahan Amen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:00 AM