MIMI tak patah semangat meskipun solo pertama belum berupaya serlah bakat nyanyian. FOTO Aziah Azmee
MIMI tak patah semangat meskipun solo pertama belum berupaya serlah bakat nyanyian. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

BAKAT baru seni suara dalam industri hiburan tanah air yang muncul ketika ini agak ramai. Seorang daripadanya adalah Mimi Manan, 20.

Pernah menyertai Mentor 7 di TV3 pada 2018, nasib Mimi tidak seperti protege lain. Dia disingkir awal oleh mentor pilihannya iaitu penyanyi Siti Nordiana atau Nana.

Pun begitu, Nana sebenarnya membuka peluang pada Mimi untuk bergelar penyanyi rakaman di bawah syarikatnya, Siti Nordiana Soul Entertainment.

Mengikat kontrak sejak April tahun lalu, Mimi atau nama sebenar Nurshamimi Manan sudah muncul dengan lagu solo pertama berjudul Bila Berjauhan.

Mengulas lagu itu, Mimi berkata, dia gembira dapat menyanyi serta merakamkan karya ciptaan bersama Aizat Amdan, Mel Ramlan dan Nana. Katanya, dia berasa sangat bertuah.

“Saya masih baru dalam nyanyian dan ketika merakamkan lagu Bila Berjauhan sekitar tahun lalu, memang pengalaman sangat sedikit.

“Perasaan masuk studio ketika itu mendebarkan kerana saya perlu rakamkan lagu ciptaan penyanyi dan komposer sudah dikenali ramai seperti Aizat, Mel dan Nana sendiri.

“Risau dalam hati hanya Allah yang tahu, tetapi saya sangat bersyukur dapat rakam lagu Bila Berjauhan dengan baik. Alhamdulillah, Allah bantu,” katanya.

BERHARAP semoga sinar lebih menyerlah untuk kerjaya nyanyiannya. FOTO Aziah Azmee
BERHARAP semoga sinar lebih menyerlah untuk kerjaya nyanyiannya. FOTO Aziah Azmee

Kini, Mimi teruja untuk merakamkan lagu solo kedua. Namun, proses itu dijangka dilakukan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 tamat sepenuhnya.

“Saya sangat meminati nyanyian dan akan terus mencuba hingga berjaya. Pada saya, rezeki Allah yang tentukan dan jangan cepat kecewa untuk terus berusaha.

“Tak dinafikan, percubaan pada lagu Bila Berjauhan belum berupaya menyerlahkan bakat nyanyian saya. Namun, saya tidak patah semangat untuk mencuba lagi,” katanya.

Bakal menyanyikan lagu terbaru yang lirik ditulis Shana Ahmad, wanita dari Ampang, Selangor ini berharap semoga sinar lebih menyerlah untuk kerjaya nyanyiannya nanti.

Masih menuntut di Universiti Kuala Lumpur, Mimi berkata, dia juga perlu membahagi masa antara pelajaran dan nyanyian. Katanya, dia mahu berjaya untuk kedua-duanya.

Turut mendapat restu ibu bapa, Mimi sangat berterima kasih kepada Nana di atas keyakinan terhadap bakatnya. Mimi juga menjadikan kejayaan Nana sebagai inspirasi.

“Apapun, saya masih meletak harapan pada lagu Bila Berjauhan untuk bakat nyanyian dikenali. Bagi saya, melodi dan lirik lagu itu sangat menarik dan kena dengan vokal.

“Cuma, saya perlu giatkan usaha untuk mempromosi lagu Bila Berjauhan kepada pendengar. Justeru, bagi mereka yang baru nak dengar lagu ini, lirik video ada di YouTube sejak tujuk bulan lalu,” katanya.

Mendapat ratusan komen positif daripada pendengar di YouTube, lagu Bila Berjauhan juga pernah menjadi satu daripada lagu tema dalam drama Satukan Rasa lakonan Nana bersama Khai Bahar.

MIMI akan terus mencuba hingga berjaya kerana nyanyian adalah bidang yang diminatinya. FOTO Aziah Azmee
MIMI akan terus mencuba hingga berjaya kerana nyanyian adalah bidang yang diminatinya. FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 6:30 AM