EINA mahu kembali menyanyi kini pilih karya paling sesuai dengan vokal. FOTO Hazreen Mohamad
EINA mahu kembali menyanyi kini pilih karya paling sesuai dengan vokal. FOTO Hazreen Mohamad
Syafil Syazwan Jefri


Nama Datin Paduka Eina Azman mungkin lebih dikenali sebagai pelakon.

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa wanita ini memulakan langkahnya dalam industri hiburan sebagai penyanyi.

Mewarisi bakat nyanyian yang mengalir dalam darahnya daripada anggota keluarganya, Eina kini mahu kembali mengorak langkah sebagai penyanyi dengan menghasilkan single.

"Kalau dilihat semula susur galur keluarga saya, rata-rata mereka yang pernah berjuang dalam industri seni adalah sebagai pemuzik.

"Saya pun memulakan langkah sebagai penyanyi, namun tak lama selepas itu saya 'tersesat' dalam dunia lakonan memandangkan rezeki dalam cabang seni ini juga datang sekali," katanya.

Membuka sesi bual bicara, Eina begitu teruja berkongsi mengenai perancangannya untuk menghadirkan buah tangan terbaharunya itu.

"Idea ini muncul selepas saya menyertai program The Masked Singer. Ketika itu, saya menyanyi dengan memakai topeng sesuai dengan konsep program itu.

"Perasaannya berbeza berbanding membuat persembahan di depan penonton secara terbuka. Jadi, saya terfikir apa salahnya kalau saya cuba cabar diri saya dan mencari karya yang bersesuaian," katanya.

Berkongsi mengenai konsep muzik yang ingin dibawakan, Eina selesa untuk berkarya dalam arus muzik pop.

"Saya akan keluarkan lagu berkonsep pop yang 'catchy'. Kiranya, konsepnya lebih santai dan boleh menari-nari sedikit.

"Di Malaysia, kita dah ada penyanyi hebat dari sudut vokal seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul. Jadi, untuk memulakan semula langkah dalam nyanyian, saya nak keluarkan lagu yang lebih santai," katanya.

Meneliti beberapa karya daripada beberapa komposer, Eina kini memilih karya yang paling sesuai dengan vokal dan konsep yang dirancang.

EINA tampil dalam The Maid 2. FOTO Hazreen Mohamad
EINA tampil dalam The Maid 2. FOTO Hazreen Mohamad

Selain itu, Eina juga kini muncul dalam drama bersiri The Maid yang masuk musim kedua.

Berbanding musim lalu, wataknya sebagai Nadia kini lebih bersatu dengan 'madu-madunya' yang lain.

"Kalau sebelum ini Nadia lebih 'gedik' dan dahagakan kasih sayang suaminya. Semua wanita dalam drama musim pertama saling menikam satu sama lain.

"Berbeza dalam The Maid 2, Nadia lebih 'tone down', namun bersatu dengan madu-madunya yang lain kerana mereka menyimpan impian dan ada tujuan sama," katanya.

Pernah berehat selama setahun, Eina juga tidak menafikan bahawa cabaran terbesarnya untuk kembali beraksi dalam drama itu adalah untuk mencari momentum.

EINA kini ingin memulakan semula karier muzik. FOTO Hazreen Mohamad
EINA kini ingin memulakan semula karier muzik. FOTO Hazreen Mohamad

"Seperti yang anda sedia maklum, penggambaran The Maid 2 pernah dihentikan selama setahun akibat penularan Covid-19.

"Sebagai pelakon, ada cabaran besar juga untuk kami antaranya adalah untuk mencari momentum bagi memastikan jalan cerita dan karakter masih ada kesinambungan.

"Selain itu, cabaran lain juga adalah untuk memastikan bentuk badan kami tidak lari jauh daripada setahun sebelum itu. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar," katanya.

Selain Eina, The Maid 2 turut dibintangi Sherry Alhadad, Ezzaty Abdullah, Marsha Milan, Norman Hakim dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 7:00 AM