KENDERAAN menunggu untuk melepasi sempadan AS dan Mexico di Baja California. FOTO AFP
KENDERAAN menunggu untuk melepasi sempadan AS dan Mexico di Baja California. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) akhirnya membuka semula sempadan darat dan udaranya pada Isnin 8 November kepada pelawat asing yang menerima vaksin Covid-19 lengkap, selepas 20 bulan melakukan sekatan perjalanan dari seluruh dunia.

Walaupun perjalanan dari AS ke Eropah boleh dilakukan sejak musim panas, penduduk warganegara asing di AS yang memegang visa tertentu sebelum ini tidak mempunyai jaminan untuk dapat memasuki semula negara berkenaan.

Bagi memenuhi permintaan yang melonjak, syarikat penerbangan meningkatkan bilangan penerbangan transatlantik dan merancang untuk menggunakan pesawat yang lebih besar, ketika semua pihak berusaha untuk keluar daripada krisis pandemik.

Di sepanjang sempadan dengan Mexico, banyak bandar di negeri Texas dan California, AS berdepan masalah ekonomi akibat sekatan perdagangan anti-Covid.

Larangan perjalanan yang ditarik balik itu akan memberi kesan lebih 30 negara.

Pihak berkuasa AS merancang untuk memantau dengan teliti status vaksinasi pengembara dan masih memerlukan mereka mengemukakan keputusan negatif ujian Covid-19.

AS mulai Isnin menuntut pelancong yang menaiki pengangkutan udara divaksin sepenuhnya dan menjalani ujian Covid-19 dalam tempoh tiga hari sebelum perjalanan.

Syarikat penerbangan perlu menyediakan sistem pengesanan kenalan dan pembukaan sempadan darat akan berlaku dalam dua fasa.

Mulai Isnin juga, vaksin akan diperlukan untuk mereka yang melakukan perjalanan 'tidak penting' seperti lawatan keluarga atau pelancongan.

Meskipun begitu, pelawat yang tidak divaksin masih dibenarkan masuk ke AS untuk perjalanan perlu, seperti dalam tempoh setahun setengah lalu.

Pada fasa kedua yang bermula pada awal Januari, ia akan memerlukan semua pelawat divaksin sepenuhnya untuk memasuki AS melalui darat, tidak kira apa juga alasan perjalanan mereka.

Pihak berkuasa kesihatan AS berkata semua vaksin yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) AS dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan diterima untuk masuk melalui udara. Ketika ini, vaksin diterima adalah AstraZeneca(AZ), Johnson & Johnson, Moderna, Pfizer-BioNTech, Covaxin, Sinopharm dan Sinovac.

Larangan perjalanan yang sebelum ini dikenakan oleh bekas presiden Donald Trump pada awal tahun lalu dan dikekalkan oleh penggantinya, Joe Biden.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 7:02 AM