KEADAAN di Lapangan Terbang Brussels, Belgium. FOTO EPA
KEADAAN di Lapangan Terbang Brussels, Belgium. FOTO EPA
AFP

Geneva: Jawatankuasa kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menolak cadangan pasport vaksin untuk pengembara antarabangsa, antara lain atas alasan ia menyebabkan ketidaksetaraan .

"Tidak memerlukan bukti vaksinasi untuk syarat kemasukan, mengambil kira bukti terhad mengenai kesan vaksin dalam mengurangkan jangkitan dan ketidaksetaraan dalam pengedaran vaksin di peringkat global," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan yang merumuskan hasil mesyuarat pada 15 April.

Kenyataan itu susulan usaha beberapa negara untuk memulakan pasport vaksin untuk pengembara dan aktiviti lain termasuk sukan.

Idea itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan banyak pihak yang melihat ia adalah diskriminasi antara golongan tua dan muda, kaya dan miskin, di samping isu mengenai privasi individu.

Negara ahli Kesatuan Eropah sudah bersetuju dengan sijil pengesahan vaksin, manakala China sudah melancarkan program pengesahan kesihatan untuk pengembara, dan syarikat penerbangan mempertimbang untuk keperluan bukti individu sudah divaksin.

Amerika Syarikat pada awal bulan ini berkata, negara itu tidak mensyaratkan pasport vaksin tetapi menggalakkan inisiatif swasta untuk meneroka idea berkenaan.

Setakat ini, WHO hanya meluluskan penggunaan tiga vaksin Covid-19 iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca-Oxford dihasilkan di India dan Korea Selatan, serta Johnson & Johnson.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 April 2021 @ 12:05 PM