NILAI keseluruhan rampasan di sebuah kilang di Rawang dianggarkan bernilai RM87,300.
NILAI keseluruhan rampasan di sebuah kilang di Rawang dianggarkan bernilai RM87,300.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Shah Alam: Terbabit dengan kerja amal kebajikan namun pada masa sama turut dikesan melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi peket satu kilogram (kg).

Suspek lelaki berusia 50-an itu antara individu disiasat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) selepas didapati melakukan jenayah itu di kilang tersembunyi di Rawang, Gombak.

Sumber berkata, suspek dikesan mengupah lapan lelaki Rohingya dan Thailand menjalankan aktiviti memotong peket minyak masak subsidi 1kg sebelum dikumpul dalam tangki khas.

"Suspek sebelum ini pernah diambil tindakan kerana melakukan kesalahan sama di Klang, Selangor tahun lalu. Namun dia tidak serik dan berpindah lokasi ke Rawang.

"Hasil operasi pada jam 11.30 pagi itu, 36 unit tangki fiber berkapasiti 1,000 liter dan 31 tan minyak masak disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM87,300," katanya.

Menurutnya, kejayaan membongkar kegiatan itu hasil maklumat anggota Seksyen Perisikan KPDNHEP Putrajaya yang aktif membuat intipan di lapangan.

SEBANYAK 36 tangki fiber dirampas dalam serbuan di sebuah kilang tersembunyi di Rawang, Gombak.
SEBANYAK 36 tangki fiber dirampas dalam serbuan di sebuah kilang tersembunyi di Rawang, Gombak.

"Sindiket dikesan menjadikan kawasan kilang usang dan tersorok sebagai markas aktiviti. Malah, lima kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di sekitar premis bagi mengesan kehadiran pihak berkuasa.

"Pihak KPDNHEP mendapati sindiket beroperasi hampir dua bulan lalu dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi peket 1kg daripada beberapa pemborong berlesen di sekitar Lembah Klang.

"Minyak masak bersubsidi peket 1 kg ini dilerai dan dikumpulkan dalam tangki fiber berkapasiti 1,000 liter untuk dipasarkan dengan harga bukan subsidi.

Sementara itu Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam mengesahkan rampasan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah.

Katanya, kesalahan dilakukan melanggar peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan minyak masak membabitkan urusan secara borong atau runcit tanpa lesen sah.

Terdahulu, KPDNHEP mengambil tindakan terhadap dua stor iaitu di Taman Equine dan Pulau Indah, Selangor pada bulan Julai dan Ogos 2021 lalu selain menyita 26,104kg minyak masak bernilai RM84,587.

Kedua-dua premis didapati menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi dengan modus operandi sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:30 AM