Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kuala Lumpur: Tetapkan pembelian 'bersyarat' bagi pelanggan yang mahu mendapatkan bekalan minyak masak peket bersudsidi satu kilogram

Itu tindakan tamak seorang peniaga kedai runcit di Parit Buntar, Perak yang cuba meraih keuntungan besar dengan menekan pelanggan yang terdesak untuk mendapatkan bahan mentah itu.

Sumber berkata, peniaga warga tempatan itu meletak syarat setiap pelanggan boleh membeli dua peket minyak masak 1kg jika membuat pembelian barangan di dalam kedai itu melebihi RM50.

Menurutnya, bagi pembelian barangan bernilai lebih RM100 pula, pelanggan layak membeli tiga peket minyak masak 1kg.

"Manakala bagi pembelian di atas RM300, pelanggan layak mendapatkan lima peket minyak masak 1kg. Tambahan 12 peket minyak masak 1kg diberikan bagi pembelian melebihi RM500.

PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas kedai runcit di Parit Buntar, Perak.
PEGAWAI KPDNHEP melakukan pemeriksaan ke atas kedai runcit di Parit Buntar, Perak.

"Syarat itu dibuktikan melalui tulisan pada kadbod ditemui di kedai itu oleh pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyerbu premis itu petang semalam," katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, sebanyak 478 pemeriksaan ke atas rantaian bekalan minyak masak peket 1kg bersubsidi dilaksanakan KPDNHEP Negeri Perak sejak 1 Julai 2021 di bawah Op ATM Fasa II (Ayam,Telur & Minyak Masak).

"Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 11 kes diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 membabitkan minyak masak bersubsidi dengan nilai rampasan berjumlah RM5,405.

"Salah satu kes membabitkan pemeriksaan di sebuah premis runcit di Parit Buntar yang mengenakan pembelian bersyarat kepada pembeli yang ingin membeli minyak masak peket 1kg.

"Sebanyak 2,162 peket minyak masak bersubsidi 1kg dengan nilai RM5,405 dirampas daripada premis itu," katanya.

Beliau berkata, 10 lagi kes membabitkan kesalahan kegagalan dalam mengemaskini penyata stok dan deklarasi dokumen di seluruh Perak.

"Pemeriksaan membabitkan operasi pengauditan dan pemutihan terhadap pengilang, pemborong serta premis runcit termasuk 26 syarikat pembungkus (repacker) minyak masak peket bersubsidi yang beroperasi di seluruh negeri Perak.

"Pemeriksaan menumpukan tempat penyimpanan bekalan, pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak peket, selain mendapatkan deklarasi atau maklumat lengkap daripada pengusaha premis yang diperiksa berkaitan minyak masak," katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP juga memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat supaya tidak terbabit atau bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan dan subsidi serta pengenaan syarat.

"Individu yang melakukan kesalahan itu boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

SYARAT ditetapkan pemilik kedai pada pembeli yang mahu mendapatkan minyak masak peket 1kg.
SYARAT ditetapkan pemilik kedai pada pembeli yang mahu mendapatkan minyak masak peket 1kg.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2022 @ 1:00 PM