SHAMSUL Nizam (tengah) menunjukkan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki pada sesi sidang media di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor. FOTO Nurul Amanina Suhaini
SHAMSUL Nizam (tengah) menunjukkan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki pada sesi sidang media di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi bernilai RM15 juta dalam serbuan di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih di sini, hari ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya Shamsul Nizam Khalil berkata, pihaknya yakin dapat melumpuhkan sindiket yang disyaki menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

Menurutnya, KPDNHEP Putrajaya dibantu KPDNHEP Johor Bahru menahan seramai 15 lelaki termasuk lapan warga asing iaitu Nepal dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun dalam serbuan pada 2 pagi.

"Siasatan awal dan risikan selama sebulan mengesyaki minyak masak bersubsidi itu diperolehi daripada beberapa kilang pembungkus minyak masak secara sah di sekitar Lembah Klang, Perak dan Kedah yang ada lesen borong sah sebelum dibawa ke kawasan perindustrian di Pasir Gudang ini.

"Sindiket ini didapati memindahkan minyak masak bersubsidi satu kilogram (kg) ke tangki dengan cara memotong plastik 'polybag' dan memasukkan ke dalam mesin pengisar yang kemudiannya akan disalurkan ke tangki berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

"Syarikat ini beroperasi sejak enam bulan lalu, selain difahamkan dianggarkan antara 500,000 ke satu juta peket diselewengkan sebulan sepanjang tempoh itu.

"Harga subsidi adalah RM2.50, mereka mungkin dapat lebih murah sebab mereka pemborong.

"KPDNHEP mengesyaki bekalan minyak masak ini bagi tujuan eksport. Ini kes pertama dan terbesar tahun ini dapat dibongkar kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi," katanya ketika sidang media di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat 15 jenama minyak masak daripada beberapa syarikat yang terbabit dengan kegiatan itu.

Ditanya sama ada berlaku pembabitan orang dalam, pihaknya memaklumkan ia masih dalam siasatan.

"KPDNHEP sudah mengenal pasti beberapa syarikat yang digunakan untuk menjalankan aktiviti membeli minyak masak dengan menggunakan lesen borong yang sah.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

"KPDNHEP juga akan membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 bagi melihat daripada segi berlakunya jenayah kewangan, selain syarikat pembungkusan yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:22 PM