PERKARA berkenaan diumumkan NSFC dalam satu kenyataan. FOTO Ihsan NSFC
PERKARA berkenaan diumumkan NSFC dalam satu kenyataan. FOTO Ihsan NSFC
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) boleh dikatakan 'lumpuh' menjelang saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini apabila 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Hal ini kerana, juara Liga Perdana itu terpaksa berehat panjang selepas perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah dengan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, perlawanan persahabatan yang sepatutnya berlangsung dalam tempoh terdekat ini termasuk membabitkan Kuching FC Rabu lalu turut dibatalkan atas faktor keselamatan.

"Ujian pengesanan Covid-19 secara berterusan masih dijalankan bagi kontak pemain dan pegawai NSFC yang terbabit.

"Selain itu, demi menjaga keselamatan semua pihak termasuk mengambil kira nasihat diberikan doktor pasukan, pihak NSFC ingin memohon kemaafan kepada penyokong pasukan kerana hal ini juga membabitkan pembatalan perlawanan persahabatan menentang Kuching City FC yang sepatutnya diadakan 20 Oktober lalu.

"Pada masa sama, pasukan NSFC tidak dapat meneruskan baki saingan Piala Malaysia 2021," katanya.

Mengikut rekod, NSFC mencatatkan rekod paling tinggi Covid-19 menjangkiti kalangan pemain sekali gus menyebabkan pasukan terbabit tidak dapat beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terpaksa menunda beberapa perlawanan Liga Super apabila terdapat pemain disahkan dijangkiti pandemik berkenaan.

Antara pasukan yang pemainnya pernah dijangkiti Covid-19 adalah membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC, Kuching City FC dan Sarawak United.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 4:16 PM