Stuart Ramalingam.
Stuart Ramalingam.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pasukan yang 50 peratus pemain atau separuh anggota skuad dijangkiti Covid-19 boleh memohon penangguhan aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Itu antara penambahbaikan yang dilaksanakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam pindaan Peraturan Perlawanan Tertunda Covid-19 musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, pindaan itu dilakukan selari dengan keadaan semasa di mana kewujudan dos penggalak ketika ini membolehkan pemain yang positif untuk pulih segera daripada jangkitan itu.

Senarai itu berbeza daripada musim lalu yang mungkin mengambil masa lama untuk dikuarantin sekali gus kemenangan percuma diberikan pasukan lawan yang tidak terbabit dengan Covid-19.

"Ketika itu, jadual Piala Malaysia 2021 berperang dengan masa dan tambahan lagi, kewujudan dos penggalak tidak lagi berlaku.

"Tetapi dengan adanya dos penggalak serta lengkap vaksinasi, pindaan Peraturan Perlawanan Tertunda kini mengikut SOP yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

"Justeru, SOP terbaharu MFL adalah kelab hanya layak untuk memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih daripada jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti wabak Covid-19 atau kontak rapat bergejala," katanya.

Terdahulu, pembukaan kempen Liga M pada hujung minggu lalu sedikit terganggu apabila beberapa perlawanan terpaksa ditunda gara-gara Covid-19 dengan membabitkan satu aksi Liga Super dan empat perlawanan Liga Perdana.

Pertemuan Sri Pahang menentang Terengganu FC (TFC) yang dijadual berlangsung di Stadium Darul Makmur, Jumaat lalu ditunda selepas 20 pemain serta pegawai Tok Gajah disahkan positif.

Turut menerima nasib sama adalah Perak FC selepas enam pemain positif Covid-19 dan 14 lagi kontak rapat bergejala sekali gus menyaksikan perlawanan dengan Kelantan United ditangguhkan.

Begitu juga dengan 12 pemain UiTM FC didapati positif, manakala baki barisan pemain berstatus kontak rapat bergejala menyebabkan pertemuan Liga Perdana menentang Terengganu FC II dan aksi Piala FA bertemu Kuching City FC pada 15 Mac terpaksa ditunda.

"Untuk permohonan penangguhan ini, kelab perlu mengemukakan dokumen antaranya bukti keputusan ujian dan status MySejahtera serta surat pengesahan daripada doktor pasukan," kata Stuart.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2022 @ 7:01 AM