Sebahagian pemain NSFC selepas beraksi dalam perlawanan Liga M. FOTO NSFC
Sebahagian pemain NSFC selepas beraksi dalam perlawanan Liga M. FOTO NSFC
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Bermula dengan hanya dua pemain sahaja dijangkiti Covid-19 sebelum merebak lalu menjangkiti lebih ramai dalam pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) sekali gus menyebabkan juara Liga Perdana itu dikuarantin sementara.

Situasi terbabit didedahkan sumber dalam pasukan terbabit apabila pemain yang dijangkiti Covid-19 itu dikatakan menyertai pasukan sebelum disedari positif selepas melakukan pemeriksaan lanjut.

Katanya, NSFC 'diserang' varian delta menyebabkan pandemik terbabit cepat tersebar di kalangan pemain dan pegawai pasukan.

Tambahnya, ketika ini pengurusan NSFC masih lagi dalam siasatan bagi mengenalpasti punca pemain berkenaan dijangkiti Covid-19 namun tidak menolak kemungkinan terdapat kontak dengan individu luar.

"Apa yang boleh saya kongsikan situasi berlaku sebelum perlawanan persahabatan menentang Penang FC sepatutnya berlangsung 17 Oktober lalu apabila barisan pemain melakukan pemeriksaan sebelum mendapati ada antara mereka tidak sihat.

"Bimbang gejala terus menular, pengurusan membatalkan perlawanan itu dan pemeriksaan kali kedua mendapati pemain berkenaan positif Covid-19 dan beberapa hari kemudian rakan mereka pula.

"Sekarang ini, semua pemain berada dalam keadaan baik dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dijangkiti kelak," katanya yang enggan mendedahkan nama pemain terbabit.

Terdahulu Arena Metro melaporkan NSFC boleh dikatakan 'lumpuh' menjelang saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini apabila 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Selepas juara Liga Perdana itu terpaksa berehat panjang apabila perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah dengan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, perlawanan persahabatan yang sepatutnya berlangsung dalam tempoh terdekat ini termasuk membabitkan Kuching FC pada Rabu lalu turut dibatalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 2:14 PM