PEGAWAI perubatan sentiasa memantau tahap kesihatan pemain dan akan segera mengambil tindakan susulan sekiranya menunjukkan gejala Covid-19. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
PEGAWAI perubatan sentiasa memantau tahap kesihatan pemain dan akan segera mengambil tindakan susulan sekiranya menunjukkan gejala Covid-19. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mahu menekan butang panik walaupun mengetahui barisan pemain Bawah 23 tahun (B-23) pernah mengharungi perlawanan persahabatan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) sebelum pemain dan pegawai kelab itu dijangkiti Covid-19.

Hal ini kerana, FAM sudah mengambil langkah drastik dengan melakukan pemeriksaan secara berkala termasuk melakukan ujian Transkripsi Balikan-Tindak balas Berangkai Polimerase (RT-PCR) sebelum berlepas ke Ulaanbaatar, Mongolia kelmarin.

Setiausaha Agung FAM Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya juga sekali lagi melakukan pemeriksaan kesihatan dan ujian RT-PCR kepada semua pemain dan pegawai pasukan sebaik tiba di lapangan terbang negara berkenaan.

Malah, katanya, pegawai perubatan sentiasa memantau tahap kesihatan pemain dan akan segera mengambil tindakan susulan sekiranya mereka menunjukkan gejala Covid-19.

"Kami sedia maklum mengenai penularan Covid-19 di kalangan pemain dan pegawai NSFC sekali gus memantau tahap kesihatan pemain B-23.

"Pemeriksaan lebih kerap akan dilakukan kepada pemain memandangkan mereka mengharungi perlawanan persahabatan minggu lalu," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu Arena Metro melaporkan NSFC boleh dikatakan 'lumpuh' menjelang saingan Piala Malaysia bersambung hujung bulan ini apabila 20 pemain dan empat pegawai disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Menerusi kenyataan media Negeri Sembilan FC memaklumkan bahawa pasukan itu terpaksa menarik diri daripada beraksi pada baki perlawanan Piala Malaysia yang akan bersambung hujung bulan ini.

Hal ini kerana, juara Liga Perdana itu terpaksa berehat panjang selepas perlu menjalani kuarantin wajib 10 hari di rumah dengan dipantau oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mengikut rekod, skuad Brad Maloney mengharungi tiga perlawanan persahabatan termasuklah membabitkan NSFC sebelum berlepas ke Ulaanbaatar.

Skuad B-23 negara bakal mengharungi perlawanan Kelayakan Kejuaraan AFC B-23 a bermula Isnin hingga 31 Oktober ini.

Malaysia yang mempertaruhkan rata-rata pemain skuad Bawah 20 Tahun (B-20) diundi bersama Thailand, Laos dan Mongolia dalam Kumpulan J untuk merebut 15 slot beraksi di pusingan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 11:12 PM