Ekhwan Haque Fazlul Haque


Semenyih: "Pandemik Covid-19 memberi impak yang besar terhadap rumah kebajikan terutama sumbangan dana bagi menampung kos operasi.

"Terima kasih kepada Kedai Ayamas dan Harian Metro kerana memilih Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia untuk menerima sumbangan," kata Penasihat Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Azman Rasman.

Azman berkata, sumbangan yang diterima ternyata melegakan kerana kos operasi bulanan mencecah RM50,000 merangkumi makanan, perubatan dan operasi harian.

Katanya, Covid-19 menyebabkan jumlah sumbangan turun mendadak, malah pihak pengurusan juga tidak dapat keluar bagi mencari dana.

"Saya berterima kasih kepada Kara Holdings Sdn Bhd dan Harian Metro menerusi program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas kerana memilih Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia," katanya ketika ditemui, semalam.

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan Titipan Kasih Harian Metro bersama Kedai Ayamas yang disampaikan Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd, Abd Rahman Md Dawi dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek.

ABD Rahman (berdiri, kiri) beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Kampung Sungai Purun, Semenyih. FOTO AZHAR RAMLI
ABD Rahman (berdiri, kiri) beramah mesra dengan penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Kampung Sungai Purun, Semenyih. FOTO AZHAR RAMLI

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kara Holdings Sdn Bhd, Mohamad Izham Mohamad Haroun, Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Sufian Thauri Muhammed, Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro, Noor Azam Abd Aziz, Pengurus Strategi Pemasaran dan Komunikasi Korporat NSTP, Kamarul Aznam Kamarozaman dan Timbalan Pengurus Korporat Komunikasi Kedai Ayamas, Nurfarah Abdul Jamaludin.

Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia kini menjaga 42 penghuni tiada waris sejak 2016 dan dibangunkan di tanah wakaf Kampung Sungai Purun di sini.

Dalam pada itu, Abd Rahman berkata, Kedai Ayamas berbesar hati berkongsi rezeki dengan penghuni pusat jagaan ini yang terkesan kerana Covid-19.

Katanya, Kedai Ayamas akan terus membantu golongan memerlukan hasil perniagaan yang diperoleh.

"Kami memahami masalah dan kesusahan dihadapi pusat jagaan yang memerlukan dana setiap bulan untuk kos operasi dan perubatan penghuni.

"Insya-Allah kami akan terus membantu bagi memastikan operasi pusat jagaan ini berjalan lancar," katanya.

ABD Rahman (tengah) dan Yusri (dua dari kiri) membantu membuka pek makanan disediakan untuk penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. FOTO AZHAR RAMLI
ABD Rahman (tengah) dan Yusri (dua dari kiri) membantu membuka pek makanan disediakan untuk penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. FOTO AZHAR RAMLI

Sementara itu, Yusri berkata, Titipan Kasih Harian Metro adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Katanya, menerusi program itu bantuan akan disalurkan kepada anak yatim, keluarga miskin, ibu tunggal, golongan asnaf, rumah kebajikan dan mangsa bencana alam.

"Jalinan kerjasama dengan Kedai Ayamas ini salah satu inisiatif CSR Harian Metro untuk mengenal pasti dan memberikan bantuan kepada masyarakat terutama dalam tempoh yang sukar ini.

"Kami sedar ramai terkesan dengan situasi ekonomi pada masa kini ekoran penularan wabak Covid-19 dan situasi ini juga tentunya memberi kesan kepada pihak pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia," katanya.

Sebarang sumbangan bolehlah disalurkan ke Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia menerusi no akaun: 5623 8452 1053 (Maybank Islamic).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Oktober 2021 @ 6:50 AM
ABD Rahman (tiga dari kanan) menyerahkan replika sumbangan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin (dua dari kanan) sambil disaksikan Yusri (tiga dari kiri)  pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Kedai Ayamas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. FOTO AZHAR RAMLI
ABD Rahman (tiga dari kanan) menyerahkan replika sumbangan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Ruslan Saidin (dua dari kanan) sambil disaksikan Yusri (tiga dari kiri) pada Program Titipan Kasih Harian Metro bersama Kedai Ayamas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia. FOTO AZHAR RAMLI