ABD Rahman (tiga dari kiri) dan Yusri (kanan) menyerahkan  sumbangan kepada Norina (dua dari kanan) ketika  program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas di Bukit Payong. FOTO Ghazali Kori
ABD Rahman (tiga dari kiri) dan Yusri (kanan) menyerahkan sumbangan kepada Norina (dua dari kanan) ketika program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas di Bukit Payong. FOTO Ghazali Kori
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Program Titipan Kasih Bersama Kedai Ayamas diteruskan di Asrama Anak-Anak Yatim Darul Falah (Perkasa) di Bukit Payong, di sini, semalam.

Pengetua Perkasa Norina Mohamad berkata, pihaknya terharu program kerjasama Kara Holdings Sdn Bhd dan Harian Metro itu memilih Perkasa sebagai destinasi ke lapan program berkenaan.

"Sumbangan itu sangat bermakna untuk 82 penghuni di Perkasa, sekali gus menggambarkan keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan mereka.

"Sedikit sebanyak sumbangan itu menceriakan penghuni Perkasa dan berharap lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan dan sokongan moral kepada penghuni di sini," katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Sumbangan Titipan Kasih Harian Metro bersama Kedai Ayamas itu disampaikan Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd, Abd Rahman Md Dawi dan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro, Yusri Abdul Malek.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kara Holdings Sdn Bhd, Mohamad Izham Mohamad Haroun; Pengarang Berita Kanan Harian Metro, Abdul Manan A Samad dan Pengarah Projek Titipan Kasih Harian Metro, Noor Azam Abd Aziz.

Sementara itu, Abd Rahman berkata, Kedai Ayamas berbesar hati berkongsi rezeki dengan penghuni Perkasa.

"Program itu sebahagian program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak kami dan berterima kasih kepada Harian Metro kerana membantu kami mengesan penerima yang layak menerima sumbangan itu.

"Kami akan terus menjalankan program CSR seperti itu dari semasa ke semasa dalam memastikan kebajikan pihak memerlukan dipenuhi," katanya.

Sementara itu, Yusri berkata, TKHM dianjurkan sejak Ramadan lalu, namun tertangguh selama empat bulan kerana PKP yang berkuat kuasa.

"Perkasa ialah destinasi kelapan dan destinasi terakhir penyerahan sumbangan itu ialah di Johor.

"Jalinan kerjasama dengan Kedai Ayamas itu antara inisiatif CSR Harian Metro mengenal pasti dan memberi bantuan kepada masyarakat terutama dalam tempoh sukar ini.

"Kami sedar ramai terkesan dengan situasi ekonomi pada masa kini ekoran penularan wabak Covid-19 dan situasi ini tentu memberi kesan kepada pihak pengurusan Perkasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Oktober 2021 @ 7:01 AM