Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya berbesar hati di atas kunjungan Harian Metro dan Ayamas yang menghulurkan sumbangan terhadap pusat tahfiz di sini," kata Pengerusi Madrasah Tahfiz Al-Quran Sedhar, Senawang, Mohd Ali Ab Kadir.

Mohd Ali yang menguruskan tiga madrasah tahfiz termasuk Madrasah Darul Ulum dan Madrasah Khairul Amin di sini, bersyukur madrasah itu terpilih menjadi lokasi pertama sumbangan Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Ramadan 2021 dengan rakan penaja Kedai Ayamas.

Katanya, sumbangan itu begitu bermakna buat madrasah berkenaan yang kini menempatkan 108 pelajar berusia antara 12 hingga 20 tahun dari seluruh negara.

Katanya, program itu bukan saja meringankan beban pelajar tahfiz, malah mampu memupuk persaudaraan sesama kita.

"Insya-Allah apa yang diusaha dan dilakukan Harian Metro serta Ayamas ini menepati tarbiah Ramadan seperti yang disyariatkan iaitu dengan melakukan infak.

"Ia juga dapat menanam rasa tarbiah dalam kalangan pelajar tahfiz ketika mereka berada di madrasah Ramadan terutama dari segi hubungan dengan Allah dan manusia," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Surau Al-Nadzim, Taman Desa Orkid, Senawang.

Penyampaian sumbangan itu disempurnakan Pengarang Eksekutif (Pengeluaran) Harian Metro Yusri Abdul Malek, Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Ayamas Mohamad Izham Mohamad Haroun, Pengarah Terra Chickenz Sdn Bhd (Ayamas Seremban 2) Norzihan Bahari dan Pengurus Kedai Ayamas Seremban 2 Faizal Yahya.

Hadir sama, Timbalan Pengurus Komunikasi Korporat Ayamas Nurfarah Jamaluddin dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz.

Mohd Ali berkata, pihaknya mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada Ayamas kerana memilih madrasah tahfiz dikendalikannya itu sebagai penerima sumbangan TKHM.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama Harian Metro menjalin hubungan dengan madrasah tahfiz itu sebaliknya ia bermula sejak 2018.

"Saya sangat berbesar hati atas kerjasama, bantuan dan keprihatinan pihak yang menyumbang," katanya yang memaklumkan penubuhan madrasah bermula sejak 2009.

Sementara itu, Izham berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana memberi peluang pihaknya berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata, ini buat kali pertama pihaknya dapat bekerjasama dengan Harian Metro dalam program murni TKHM ini.

YUSRI (dua dari kiri) bersama Izham (tiga dari kanan) dan Faizal  (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ali  (dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas di Madrasah Tahfiz Al-Quran Sedhar.
YUSRI (dua dari kiri) bersama Izham (tiga dari kanan) dan Faizal (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Mohd Ali (dua dari kanan) pada majlis penyerahan sumbangan Titipan Kasih Harian Metro Bersama Kedai Ayamas di Madrasah Tahfiz Al-Quran Sedhar.

"Kami amat bersyukur dan berterima kasih kerana diberikan peluang oleh Harian Metro untuk bersama-sama menyantuni masyarakat kurang bernasib baik.

"Ia sebagai sumbangan menceriakan mereka yang berkenaan pada bulan Ramadan agar dapat meraikan suasana gembira pada bulan penuh keberkatan ini.

"Kami berharap sumbangan kecil ini akan dapat meringankan sedikit bebanan yang dihadapi mereka yang berkenaan," katanya.

Katanya, program berkenaan akan dijadikan sebagai permulaan untuk Ayamas terus menjalin kerjasama dengan Harian Metro menyantuni golongan memerlukan pada masa hadapan.

Program TKHM Ramadan 2021 sudah memasuki tahun ke-14 akan menjelajah di sembilan rumah kebajikan di Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Lembah Klang, Terengganu dan Johor.

Bagi mereka yang ingin membantu madrasah berkenaan boleh menyumbang menerusi akaun Bank Islam 05012010072435 atas nama Madrasah Tahfiz Al-Quran Sedhar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:35 PM