HUSAIN (kiri) dan Abd Rahman (dua dari kiri) menyantuni penghuni selepas menyampaikan sumbangan pada Program TKHM bersama Kedai Ayamas di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Johor Bahru. -FOTO NUR AISYAH MAZALAN
HUSAIN (kiri) dan Abd Rahman (dua dari kiri) menyantuni penghuni selepas menyampaikan sumbangan pada Program TKHM bersama Kedai Ayamas di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan, Johor Bahru. -FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru:Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Kedai Ayamas melabuh tirai di Johor Bahru dengan menyantuni 135 warga emas di Pusat Jagaan Warga Emas Nur Ehsan di sini, semalam.

Majlis berkenaan diserikan dengan alunan marhaban dan penyampaian sumbangan pelbagai barangan keperluan serta makanan kepada penghuni pusat jagaan itu.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Pengarang Kumpulan Harian Metro (HM), Husain Jahit bersama Pengarah Eksekutif Ayamas Shoppe (Kedai Ayamas), Abd Rahman Md Dawi kepada pengerusi pusat jagaan berkenaan, Ir Md Sharipin Shahlan.

Husain berkata, pusat jagaan berkenaan ialah lokasi kesembilan penyerahan sumbangan bagi membantu golongan memerlukan bersama Kedai Ayamas.

Katanya, usaha menjayakan program amal itu agak mencabar kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Ramadan lalu.

"Namun kami tetap menjayakannya demi membantu golongan terjejas akibat pandemik dan turut mematuhi ketetapan SOP ditetapkan.

"Kami berterima kasih kepada Kedai Ayamas yang memainkan peranan membantu golongan memerlukan dan kami mengalu-alukan pihak lain mencontohi mereka.

"Kami yakin lebih ramai rakan korporat tampil berganding bahu dalam usaha murni menerusi TKHM pada tahun depan," katanya.

Hadir sama, Pengarang Berita Kanan HM, Sufian Thauri Muhammed; Timbalan Pengurus Besar (Operasi) Kedai Ayamas, Mohamad Izham Mohamad Haroun; Pengurus Kedai Ayamas Cawangan Bahagian Selatan, Shaiful Bahri Tahir; Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Ab Aziz dan Pengarang Berita HM, Rudy Fazrunisyam Samaruddin.

Sementara itu, Abd Rahman berkata, pihaknya bersyukur kerana menerusi TKHM, Kedai Ayamas dimiliki Kara Holdings Sdn Bhd iaitu anak syarikat Johor Corporation (JCorp) dapat menyelami kehidupan golongan kurang bernasib baik.

Beliau yang juga Pengarah Eksekutif Kara Holdings Sdn Bhd berkata, Kedai Ayamas sentiasa berusaha meringankan beban dan menceriakan golongan terkesan akibat Covid-19 dihadapi negara sejak Mac 2020.

"Meskipun berdepan beberapa halangan dan cabaran namun sasaran kami untuk melaksanakan program amal ini di sembilan lokasi akhirnya berjaya.

"Ia termasuk di Perak, Terengganu, Selangor, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor.

"TKHM adalah suatu titik permulaan kerjasama dengan Harian Metro dan InsyaAllah ia akan diteruskan pada masa depan.

"Aktiviti seumpama ini membolehkan Kedai Ayamas menyumbang semula kepada masyarakat dan golongan memerlukan," katanya.

HUSAIN (kanan) bersama  Abd Rahman  (dua dari kanan) beramah mesra bersama penghuni warga emas selepas menyampaikan sumbangan.
HUSAIN (kanan) bersama Abd Rahman (dua dari kanan) beramah mesra bersama penghuni warga emas selepas menyampaikan sumbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Oktober 2021 @ 7:01 AM