SYAIFUL  duduki tempat ketujuh  acara 100m gaya bebas (S5) di Kejohanan Siri Dunia WPS.
SYAIFUL duduki tempat ketujuh acara 100m gaya bebas (S5) di Kejohanan Siri Dunia WPS.
Aida Adilah Mat

KHABAR gembira diterima dari Singapura menerusi atlet para negara, Muhammad Nur Syaiful Zulkafly apabila berjaya mencipta rekod baharu Asia dalam acara 100m gaya bebas (S5) di Kejohanan Siri Dunia WPS.

Syaiful menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas merakamkan 1 minit 16.27 saat. Rekod sebelum ini milik Thanh Tung dari Vietnam yang merekodkan masa 1:17.02 saat di Sukan Para Asia Jakarta 2018.

"Alhamdulillah rezeki bulan mulia. Hasrat saya untuk memecahkan rekod Asia tercapai. Saya memang sasar untuk pecahkan rekod 100 dan 200m milik Thanh Tung, pemenang pingat perak di Paralimpik Rio yang lalu dan akhirnya ia menjadi kenyataan.

"Satu kejayaan menggembirakan kerana prestasi saya kembali meningkat selepas mengalami masalah kesihatan ketika Siri Dunia di Scotland minggu lepas," katanya.

Saingan acara itu dikuasai atlet tuan rumah, Wei Song Toh yang meraih emas selepas mencatatkan 1:03.60s untuk mengumpul 944 mata, perenang Uzbekistan Islam Aslanov perak (940 mata) 52.59s dan Cameron Leslie dari New Zealand gangsa (923) 1:24.65s.

Acara 100m berlangsung membabitkan kategori gabungan S1 hingga S13 yang mana catatan masa yang menghampiri rekod dunia akan mendapat mata lebih tinggi seterusnya meraih emas.

Rekod yang dilakarkan itu mampu menjadi tonik berharga buat atlet berusia 24 tahun dari Sarawak yang sudahpun mengesahkan tempat ke temasya Paralimpik Tokyo 2020 dalam acara 50, 100 dan 200m gaya bebas. Bagi memastikan kuakannya semakin bertenaga, Syaiful yang mengalami kecacatan kerana kemalangan dialami ketika berusia 17 tahun berkata, dia dijadualkan berlatih ke China selama dua bulan. Selain itu Syaiful yang meraih emas di Para Asia dalam acara 50m gaya bebas itu akan turut menyertai Kejohanan Renang Para Dunia di London, September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2019 @ 9:31 PM