SINGA milik hartawan, Zhai Xinjiang yang dipercayai dilepaskan oleh bekas pekerjanya. FOTO Agensi
SINGA milik hartawan, Zhai Xinjiang yang dipercayai dilepaskan oleh bekas pekerjanya. FOTO Agensi
Agensi

Phnom Penh: Mengejutkan apabila seekor singa ditemui berkeliaran di bandar Kemboja.

Daily Star melaporkan haiwan itu dipercayai sengaja dibebaskan oleh pekerja pemilik haiwan itu yang tidak puas hati dengan majikannya, Zhai Xinjiang iaitu hartawan dari China.

Zhai memberitahu, singa bernama Hei Man, yang namanya diterjemahkan sebagai Dark Mind berkenaan dilepaskan ke jalanan di tengah bandar oleh bekas pekerja.

Dia sebelum ini memecat pekerjanya itu kerana penipuan.

Zhai memberitahu Khmer Times bahawa pekerja yang dipecat itu bersekongkol dengan beberapa rakannya untuk membiarkan haiwan itu keluar sebagai ugutan kepada bekas majikannya.

Beberapa jam selepas melarikan singa, lelaki itu membuat panggilan kepada Zhai dan menghantar kiriman pesanan bagi memberitahu dia sudah melepaskan singa itu.

Menurut Zhai, lelaki itu sebelum ini bekerja sebagai jurubahasa dan sudah meminjam AS$4,000 (kira-kira RM16,962) untuk belanja perkahwinan.

Bagaimanapun, suspek kemudian mendakwa wang itu hilang sebelum meminta pinjaman sebanyak A$4,000 (kira-kira RM16,962) lagi.

Lelaki itu juga mengancam tidak akan membayar pinjaman pertama kecuali diberi pinjaman tambahan.

Disebabkan itu, Zhai, memecat suspek yang dulu bekerja sebagai jurubahasanya.

Dalam pada itu, puluhan individu mengambil gambar dan video singa itu sebelum selamat ditangkap semula dan kembali ke rumah pemiliknya.

Pekerja yang ada sekarang mengatakan bahawa mereka lupa untuk menutup pintu pagar ke halaman ketika mengambil sampah yang menyebabkan singa itu terlepas.

Menurut Zhai, dia membawa Hei Man ketika haiwan itu berusia dua bulan dan sudah memeliharanya selama setahun.

Pihak berkuasa sebelum ini pernah merampas Hei Man dari rumah Zhai di Boeng Keng Kang, Phnom Penh, pada Julai.

Ia selepas terdapat aduan singa itu dibiarkan berkeliaran bebas di belakang kebunnya.

Zhai pada awalnya didenda lebih 20,000 pound sterling (kira-kira RM116,431), tetapi wangnya kini dilaporkan sudah dikembalikan.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen memberitahu beliau sudah membincangkan masalah itu dengan Menteri Pertanian, Veng Sakhon, dan bersetuju mengembalikan Hei Man kepada Zhai.

Ia dengan syarat Zhai membina kandang singa yang lebih selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 9:09 AM