Hun Sen beri amaran hukuman keras buat individu inggar perintah kuarantin. FOTO AFP
Hun Sen beri amaran hukuman keras buat individu inggar perintah kuarantin. FOTO AFP
AFP

Phnom Penh: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen memberi amaran untuk memenjarakan individu yang melanggar perintah kuarantin dan mengingatkan penjawat awam bahawa mereka berdepan risiko dipecat jika enggan menerima vaksin Covid-19.

Dalam tempoh dua hari, Kemboja merekodkan lebih 1,000 kes yang banyak dicatatkan di kalangan pekerja kedai pakaian dan peniaga pasar menjadikan jumlah keseluruhan 4,081 kes dengan 26 kematian.

Pihak berkuasa melarang rentas wilayah di negara ini, mengenakan waktu larangan pada malam selain menutup tempat pelancongan termasuk taman arkeologi Angkor Wat.

Pemakaian pelitup muka adalah wajib di Phnom Penh dan mereka yang gagal berbuat demikian akan didenda sehingga $250 (kira-kira RM1,034).

Namun, Hun Sen memberi amaran untuk mengenakan hukuman lebih berat kepada mereka yang melanggar tempoh kuarantin dua minggu dengan hukuman penjara selain perbicaraan mahkamah 'lebih pantas'.

"Mereka yang melanggar peraturan akan dihukum.

"Saya tidak kisah digelar diktator, namun saya yakin akan dihormati kerana melindungi nyawa rakyat," katanya dalam siaran televisyen hari ini.

Kemboja meluluskan rang undang-undang berkaitan Covid-19 yang lebih ketat di mana mereka yang didapati bersalah akan dipenjara sehingga 20 tahun.

Beliau turut mengumumkan bahawa vaksinasi adalah mandatori untuk semua pegawai kerajaan dan anggota tentera, dan memberi amaran untuk memecat mereka jika enggan menerima vaksin.

Kemboja memulakan program vaksinasi pada pertengahan Februari dan sehingga kini sejuta individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Jumlah jangkitan mula meningkat akhir Februari lalu selepas wabak dikesan berlaku dalam komuniti ekspatriat China.

Hari ini, hospital di Phnom Penh mula kekurangan katil untuk merawat pesakit dan pihak berkuasa terpaksa menjadikan sekolah dan dewan perkahwinan sebagai pusat rawatan pesakit Covid-19 bergejala ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 April 2021 @ 8:06 PM