Sudirman Mohd Tahir & Najiy Jefri


Gombak: "Dia (Siti Sarah) cakap dia takut."

Itu kata-kata akhir Allahyarham Siti Sarah, 37, kepada suaminya yang juga pelakon dan pelawak popular, Shuib sebelum dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Khamis lalu.

Shuib, 38, ketika ditemui berkata, di sebalik kata-kata itu dia tetap percaya isterinya seorang yang kuat.

"Saya tahu dialah orang yang paling kuat dan paling baik hatinya. Saya banyak dapat pelajaran daripada apa terjadi. Kepada kaum lelaki dan suami, terus hargai isteri," katanya ketika ditemui selepas pengebumian jenazah isterinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, di sini, hari ini.

Menurut Shuib, hari yang sama juga adalah kali terakhir dia menatap wajah isteri kesayangannya itu secara berdepan.

"Kali terakhir jumpa dia di hospital sebab saya yang hantar dia di wad. Terakhir saya pandang dia di katil. "Saya terpaksa tinggalkan dia. Kemudian saya jumpa dia balik selepas dia tutup mata, tapi saya cukup yakin dan percaya dia bidadari syurga saya," katanya.

Ditanya apakah kata-kata isterinya yang diingati sampai sekarang, Shuib berkata, Siti Sarah sentiasa berpesan supaya menjaga anak-anak.

"Dia nak saya jaga anak-anak dengan baik. Saya akan didik sebaik mungkin menjadi anak yang soleh dan solehah," katanya.

Dalam masa sama, Shuib berkata, sehingga tengah hari, hari ini, tiga anaknya iaitu Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, masih belum tahu mengenai pemergian ibu mereka.

"Sehingga saat ini mereka belum tahu. Ini tugas paling berat saya. Balik ini saya kena bagi tahu mereka.

"Insya-Allah saya harap semua okay. Terus mendoakan keluarga saya. Saya balikkan semua doa kalian. Kepada yang sedang bertarung dengan Covid-19 sekarang, saya mendoakan semoga semuanya dipermudahkan," katanya.

Ditanya mengenai keadaan anak keempatnya Ayash Affan yang dilahirkan Jumaat lalu, Shuib berkata, dia belum berjumpa dan melihat wajah anak lelakinya itu.

"Setakat ini saya baru dua kali dapat maklumat mengenai Ayash. Maklumat terakhir yang saya dapat dia sangat aktif.

"Mata sudah buka, kaki sudah menendang dan ada banyak pergerakan. Saya juga belum dapat gambar atau videonya. Insya-Allah dalam masa terdekat. Terima kasih sebab doakan dia. Semoga proses pembesarannya lancar," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan penyanyi lagu Kesetiaan itu disahkan meninggal dunia jam 5.13 pagi, hari ini.

Ia selepas tiga hari Siti Sarah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu akibat tahap oksigen menurun.

Disebabkan itu, Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan doktor perlu mengeluarkan bayi dalam kandungan yang ketika itu berusia tujuh bulan atau pra-matang.

Berita berkaitan

  • Siti Sarah selamat dikebumi
  • Shuib 'cemburu' pemergian Siti Sarah
  • Itu bukan gambar 'baby' Siti Sarah & Shuib
  • Air mata Siti Sarah tatapan terakhir Shuib dan anak-anak
  • Shuib, ahli keluarga terdekat dibenar tunai solat jenazah Siti Sarah
  • Video pelukan terakhir Siti Sarah dan anak-anak mengundang sayu
  • 'Arwah bergelut selamatkan anak kami' - Shuib
  • Siti Sarah mahu rahsiakan ibadah korban di Gaza
  • 'Bidadari syurga saya pergi buat selamanya'
  • Siti Sarah meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 4:07 PM