Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP.
Dewan Rakyat. FOTO ARKIB NSTP.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 183 Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen ke-15 tahun 2022 diberi taklimat persidangan Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Ketua Pentadbir Parlimen Datuk Nor Yahati Awang hari ini.

Bahagian Komunikasi Parlimen Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua ahli turut diberikan penerangan berkaitan Prosedur dan Perjalanan Dewan Rakyat oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin

Turut hadir pada taklimat yang diadakan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadilah Yusof serta pegawai kanan Parlimen.

"Parlimen Malaysia mengalu-alukan kehadiran semua Ahli Dewan Rakyat Majlis Parlimen Kelima Belas dan ucapan tahniah atas kejayaan untuk melaksanakan mandat rakyat Malaysia. Selamat Berkhidmat Yang Berhormat!" menurut kenyataan itu.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

limat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 9:07 PM