PERLUAS cabang seni melalui lakonan, pengacaraan selain menyanyi.
PERLUAS cabang seni melalui lakonan, pengacaraan selain menyanyi.
Ridzuan Abdul Rahman


HAMPIR sedekad berada dalam bidang seni, Shiha Zikir, 33, kini mampu tersenyum dengan kejayaan yang diraihnya.

Bermula dengan nyanyian, artis bernama sebenar Nurshiha Mohd Zikir ini seterusnya mengorak langkah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Peminat dapat menonton lakonan Shiha menerusi drama berjudul Live Dari Kafe Kak Kona menerusi slot Cerekarama TV3 malam ini.

"Alhamdulillah, rezeki saya semakin menyerlah dalam lakonan. Menerusi drama genre romantik komedi ini, saya bergandingan dengan Nazim Othman.

"Saya mula fokus pada lakonan kerana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak masa terluang. Sebelum ini hujung minggu selalunya dipenuhi dengan persembahan. Tapi sekarang, saya ada banyak masa lapang, jadi saya boleh teroka banyak dalam lakonan," katanya.

Menurutnya, dia pernah ditawarkan berlakon sebelum pandemik Covid-19, namun terpaksa menolak.

"Biasanya hujung minggu akan dipenuhi dengan tawaran persembahan dan lakonan memerlukan saya fokus sepenuhnya termasuk penggambaran pada hujung minggu.

"Jadinya saya terpaksa pilih salah satu dan fokus pada nyanyian. Namun, dalam keadaan sekarang dengan tawaran menyanyi yang terhad, saya tumpu pada lakonan.

SHIHA kini mempelbagaikan bakat dalam lakonan dan pengacaraan.
SHIHA kini mempelbagaikan bakat dalam lakonan dan pengacaraan.

"Banyak drama yang sudah saya buat seperti Live Dari Kafe Kak Kona, Perisik Cinta Tak Diundang sebanyak 13 episod bergandingan dengan Andi Bernadee dan banyak lagi. Drama Perisik Cinta Tak Diundang adalah adaptasi novel," katanya.

Lakonan menerusi filem Hantu Bonceng 2.0 dianggap membawa rezeki dan Shiha amat berterima kasih kepada Zizan Razak.

"Dia yang ajak saya berlakon filem yang disiarkan di Astro First ini. Hasil kepercayaan Zizan inilah, saya terus didatangi banyak tawaran watak utama.

"Tak dinafikan dulu agak susah saya nak dapat watak utama. Sekarang apabila penerbit hubungi saya, semuanya nak tawarkan watak utama. Syukur sangat-sangat orang dapat terima saya walaupun saya asalnya penyanyi," katanya.

Walaupun gembira, Shiha masih merasakan kekurangan yang ada kerana kebanyakan watak yang ditawarkan adalah komedi.

"Saya teringin juga watak mencabar lain seperti orang miskin, mangsa dera dan sebagainya. Penonton sudah nampak saya dengan watak ceria saja. "Saya amat teringin nak mendalami ilmu lakonan dengan pelakon senior. Boleh dikatakan setiap kali di lokasi, saya pasti akan bergaul dengan semua pihak untuk cari pengalaman," katanya.

Bercakap berkenaan nyanyian Shiha berkata, dia baru tampil dengan single Hari Raya berjudul Senandung Hari Raya Untukmu 2021 terbitan Todak Music.

BABAK lakonan dalam Live Dari Kafe Kak Kona.
BABAK lakonan dalam Live Dari Kafe Kak Kona.

"Ia sebuah lagu lama tapi diberikan nafas baru. Ia turut menampilkan artis Todak Music yang lain iaitu Fadh Majid, Razak A'ai, Dina Nazs, Muzza dan Gerhana Ska Cinta.

"Selepas ini saya akan tampil dengan satu single secara solo dan dua lagi bersama artis lain. Saya memang dah lama sangat idamkan nak bekerjasama dengan salah seorang daripada mereka.

"Agak sedih juga saya tak dapat ke Indonesia sekarang. Sebelum ini sebulan sekali mesti pergi sana. Kadang-kadang saya berada empat hari di sana dan berulang alik dari Malaysia dan Indonesia," katanya.

Dia yang pernah menyertai D'Akademi Asia di Indonesia bagaimanapun bersyukur kerana pelbagai pihak di sana tetap menyokong kerjaya seninya.

"Saya hantar lagu ke sana dan mereka mainkan. Baru-baru ini pun lagu saya masuk pencalonan di sana. Harapnya single lepas ini pun saya berpeluang mempromosikan di sana secara jarak jauh," katanya.

Kebolehan Shiha sebagai pengacara juga menyaksikan dia banyak ditawarkan sebagai hos pelbagai program.

"Saya sekarang mengacara Lazada TV. Tidak lama lagi saya akan tampil dengan program infotainment berjudul Di Bawah Perkeso bergandingan dengan Norman Hakim.

"Kisahnya berkisarkan Perkeso dan ia satu kelainan buat saya. Dalam masa terdekat ini juga, saya akan menggantikan Nabil Ahmad sebagai hos Ceria Popstar bersama Daniel Zaini. Saya sangat bersyukur kerana tidak statik satu bidang sahaja dalam bidang seni," katanya.

Dia menasihatkan artis terutamanya yang masih baru agar mencuba bakat dalam pelbagai cabang dalam bidang seni.

"Bagi saya setiap anak seni kena explore lebih lagi kerana jika tidak, kita tak tahu kelebihan dalam bidang seni. Seperti saya sendiri yang masuk bidang mengacara, saya beranikan diri dan syukurlah saya diterima," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 6:50 AM