BLACK musim kedua memberi satu cabaran baru dalam kerjaya lakonannya.
BLACK musim kedua memberi satu cabaran baru dalam kerjaya lakonannya.
Najiy Jefri


SIAPA sangka, kemampuan dan bakat seni yang dimiliki pelakon Kamal Adli cukup luar biasa dan mempunyai aura tersendiri.

Pernah tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik (Digital) menerusi drama Black musim pertama pada Anugerah Televisyen Asia Ke-25 yang berlangsung di Singapura awal tahun ini, namun nasib tidak menyebelahinya apabila tewas di tangan Bront Palarae.

Namun, pencalonan Kamal menerusi anugerah berprestij itu harus dipuji kerana bersaing sengit dengan barisan pelakon-pelakon hebat dari rantau Asia.

Tidak meletakkan sebarang sasaran untuk memenangi sebarang anugerah, Kamal menjelaskan, pembabitannya sebagai pelakon hanyalah untuk membuktikan dirinya mampu membawa watak yang diberikan dengan sebaik mungkin.

"Saya ingin berterima kasih kepada platform penstriman video, Viu kerana percaya dengan bakat lakonan yang saya miliki. Jujur saya tak tahu bagaimana pemilihan saya dibuat dalam drama bersiri Black ini.

"Namun, saya sangat bersyukur dan berbangga apabila menjadi sebahagian dalam keluarga Black. Saya berpeluang merasai bekerja dalam suasana berskala filem. Banyak pengalaman baru yang saya timba.

"Ketika dimaklumkan Black bakal disambung untuk musim kedua, saya sangat teruja kerana saya dapat berjumpa dengan barisan pelakon serta kru produksi yang cukup hebat dan berpengalaman.

"Malah, kami sangat optimis untuk memastikan kejayaan drama bersiri ini dan tak sangka siri pertama Black berjaya memikat hati penonton di seluruh Asia yang menontonnya," katanya yang menganggap kemenangan atau anugerah hanyalah satu bonus kepada dirinya.

PELBAGAI aksi mendebarkan dalam Black musim kedua .
PELBAGAI aksi mendebarkan dalam Black musim kedua .

Diadaptasi daripada drama fantasi seram Korea Selatan karya CJ ENM dengan judul yang sama, Black musim kedua versi Malaysia ini sudah menemui penonton di Viu sejak semalam.

Berkisarkan mengenai alam bunian, Black musim kedua masih mengekalkan barisan pelakon yang sama iaitu Kamal, Siti Saleha, Nabila Huda dan Zoey Rahman selain kehadiran ramai pelakon hebat tanah air.

Kamal berkata, Black musim kedua akan membuatkan penonton lebih ternanti-nantikan apakah pengakhiran drama ini serta banyak babak yang tidak disangka-sangka bakal disaksikan.

Menerusi Black musim kedua ini, pemburuan Black (lakonan Kamal) ke atas bekas rakannya dipertingkatkan, malah siasatannya membawanya kepada beberapa kes pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan, termasuk yang paling mengejutkan dirinya sendiri.

Rahsia-rahsia menggerunkan dibongkar dengan kesan yang sangat buruk, serta didorong oleh Sofia yang berani dan penyayang.

Black yang dulunya angkuh dan pentingkan diri mendapati dirinya menentang ketidakadilan dan gigih menyelamatkan nyawa manusia bersama Sofia di sisinya.

Kamal berkata, watak Malik atau Black yang dibawakan untuk musim kedua ini cukup berat dan banyak babak penyiasatan yang perlu diselesaikan dan cukup rumit.

"Watak Malik kali ini memang berat. Saya jadi lebih serius dalam menjalankan penyiasatan kerana ada banyak perkara lepas yang perlu diselesaikan.

KAMAL mengakui seronok sepanjang menjalani penggambaran drama bersiri itu.
KAMAL mengakui seronok sepanjang menjalani penggambaran drama bersiri itu.

"Saya akui lakonan kali ini lebih mencabar kerana saya perlu pastikan watak dibawakan dengan sebaik mungkin. Jika tidak, penonton tidak akan faham apa yang cuba disampaikan.

"Malah saya juga cuba menambah baik lakonan saya supaya penonton dapat merasai watak ini. Jika musim pertama banyak memperkenalkan watak dalam siri ini tapi musim kedua ini sesuatu yang lebih berat dan banyak kes yang berlaku," katanya.

Ditanya apakah cabaran utama yang perlu dilakukan untuk Black musim kedua ini, Kamal berkata, babak ketika dia perlu menyelam tanpa tabung oksigen adalah satu kesukaran dan pengalaman baru untuk dirinya.

"Satu pengalaman baru untuk diri saya iaitu ketika menjayakan babak menyelam di sebuah kolam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di Johor.

"Bayangkan penggambaran bermula dari tengah hari dan selesai pada lewat malam. Kolam terbabit agak dalam dan memberi cabaran kepada saya.

"Namun apabila saya melihat semula rakaman terbabit, saya berpuas hati dengan hasilnya. Selain itu, ada banyak babak pertarungan yang penonton kena lihat. Anda akan susah nak percaya adakah drama bersiri ini adalah produk tempatan. Saya kira naskhah ini cukup hebat dan berkualiti," katanya.

Kali ini Black musim kedua diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi.

Drama penuh mendebarkan ini sudah boleh disaksikan menerusi aplikasi Viu

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:00 AM