Najiy Jefri


KESERASIAN yang dipamerkan Seo In-Guk dan Park Bo-Young sememangnya cukup luar biasa dan boleh diibaratkan persis hati yang sedang berbunga.

Kedua-dua bintang popular Korea Selatan ini berjaya menawan hati penonton menerusi lakonan dalam drama terbaharu berjudul Doom At Your Service yang kini sedang bersiaran di platform penstriman popular, Viu.

Melihat kepada maklum balas penonton, rata-ratanya menyukai gandingan serasi mereka yang diibaratkan seperti pasangan yang benar-benar sedang bercinta.

Berpeluang menemuramah dua bintang utama ini secara eksklusif baru-baru ini, masing-masing teruja bercerita mengenai watak mereka dalam Doom At Your Service.

Seo In-Guk berkata, dia mudah untuk mencipta keserasian dengan Park Bo-Young sepanjang sesi penggambaran dijalankan.

"Kami bekerja secara harmoni. Saya rasa banyak babak yang menarik berlaku kerana kami melakukannya sambil mengambil berat dan memahami antara satu sama lain.

"Apa yang boleh saya kongsikan, babak akhir drama ini dijayakan dengan penuh bersahaja dan akan membuatkan anda berasa teruja. Saya berharap anda menantikannya," katanya.

Mengakui tidak mudah untuk menjayakan watak Myul Sang, In-Guk berkata, menerusi drama bersiri itu banyak babak yang memerlukan dirinya beremosi dan ia tidak mudah untuk dilakukan.

"Agak sukar untuk menunjukkan emosi Myul Mang yang amat sedih. Saya cuba berlakon secara bersahaja kerana saya risau jika saya kelihatan amat sedih atau tidak sedih langsung.

"Apa yang membuatkan saya terima tawaran ini kerana saya amat menyukai keseluruhan skrip dan segalanya mengenai watak Myul Mang apabila dia menyembunyikan kesedihannya yang terpendam dan cara lakonannya juga menarik," katanya.

SALAH satu babak dalam drama Doom At Your Service dilakonkan In-Guk dan Bo-Young.
SALAH satu babak dalam drama Doom At Your Service dilakonkan In-Guk dan Bo-Young.

Drama bersiri ini menyaksikan kemunculan semula In-Guk dalam bidang lakonan selepas beberapa tahun berehat.

Menurut In-Guk, lakonan sudah menjadi sebahagian daripada hidupnya dan dia tidak akan mensia-siakannya.

"Saya sering berasa ragu-ragu mengenai diri sendiri. Saya bersyukur kerana masih ramai yang meminati lakonan saya, tetapi saya rasa ada banyak juga perkara yang saya tidak suka.

"Mungkin saya akan melakukannya sepanjang hidup saya. Jadi saya mahu melakukan yang terbaik," katanya.

Bo Young berkata, dia mengakui drama Doom At Your Service menuntut dirinya untuk terus kekal fokus dengan watak Dong Kyung yang dibawanya.

"Apabila saya memilih sesuatu tawaran kerja, saya sering berfikir jika ia menarik bagi saya, betapa ia menyentuh hati saya dan ingin tahu mengenai kisah di sebaliknya.

"Saya menyukai drama ini dari segi itu kerana ada segala yang saya perlukan. Saya juga tidak ragu-ragu untuk memilihnya kerana saya mahu bekerja dengan penulis Im Me Ah Ri dan pengarah Kwon Young-il.

"Menerusi drama ini, saya melakonkan watak seorang pesakit kanser yang memiliki 100 hari untuk hidup.

"Watak Dong Kyung yang dibawakan sedang dalam proses untuk memenuhi bahagian yang masih ada dalam hidupnya.

"Terdapat banyak persamaan antara Dong Kyung dan saya, jadi ia menarik. Sudah tentu agak sukar untuk saya menonjolkannya kerana saya tidak dapat membayangkan bahagian di mana Dong Kyung menerima hakikat bahawa dia mempunyai beberapa hari saja lagi untuk hidup.

"Jadi, saya mahu menyampaikan kepada penonton mengenai apa yang mencetuskan Dong Kyung untuk terus hidup," katanya.

BO-Young anggap In-Guk gemar berjenaka.
BO-Young anggap In-Guk gemar berjenaka.

Seo In-Guk bersederhana, ada tarikan

Terdapat babak yang dijayakan di Pulau Jeju, Korea Selatan, Bo-Young berkata, antara detik yang paling diingati adalah ketika Dong Kyung memberitahu Myul Mang mengenai perasaannya buat kali pertama.

"Saya paling menantikan babak di mana Dong Kyung memberitahu Myul Mang mengenai perasaan yang dipendam buat kali pertama.

"Saya menunggu dengan rasa teruja dan gementar mengenai hasil akhir babak berkenaan. Kami berdua saja yang berjalan ke belakang untuk merakam babak itu di mana hanya Dong Kyung dan Myul Mang yang berjalan seperti dunia bergerak ke arah bertentangan, tetapi ia berbeza dan menyeronokkan," katanya.

Ditanya mengenai keserasian yang dicipta dengan In-Guk, Bo-Young mengakui pelakon itu mempunyai tarikan tersendiri dan sederhana.

"Apabila melihat hasil kerja In-guk, saya fikir kami akan bertemu dalam satu projek satu hari nanti dan akhirnya kami bertemu.

"Dia pelakon yang sebaya dengan saya dan mempunyai tarikan. Tanggapan pertama saya ialah dia adalah orang yang sederhana. Hingga sekarang, dia jujur dan gemar berjenaka, lalu menjadikan babak itu sangat menyeronokkan," katanya.

Menjadi pelakon terbaik dan memenangi banyak anugerah bukan satu perjalanan yang mudah untuk ditempuh, namun Bo-Young sentiasa mempunyai cara tersendiri untuk memastikan dirinya benar-benar bersedia sebelum memilih projek yang mendatang.

"Saya akan berehat seketika selepas bekerja untuk sesuatu projek. Saya akan menikmati waktu rehat saya dan meluangkan masa dengan keluarga, kemudian barulah fikir untuk tawaran seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, In-Guk turut menitipkan pesanan supaya drama terbabit digemari penonton di Malaysia khususnya.

"Saya berharap ia akan digemari orang ramai. Saya juga mahu anda berfikir semula mengenai hidup apabila menonton drama ini.

"Saya berharap setiap daripada kita akan berasa perlu untuk menghargai kehidupan setiap individu yang berharga daripada membazirkan dengan melawan atau melukai seseorang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:00 AM