GANDINGAN pertama kali, dari kiri Luqman, Aiman dan Steve.
GANDINGAN pertama kali, dari kiri Luqman, Aiman dan Steve.
Sudirman Mohd Tahir


PENONTON sering disajikan dengan kisah kaum hawa terutama golongan isteri atau ibu yang banyak menghiasi karya drama tempatan.

Manakala kisah-kisah yang menampilkan cabaran kaum adam khususnya yang bergelar bapa jarang diketengahkan.

Terbaharu, Gempak Original Series membawakan drama bersiri komedi romantik Ahli Bapak Bapak Club yang mengangkat golongan lelaki, suami dan bapa moden dalam menghadapi konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga.

Drama bersiri 10 episod arahan pengarah, Tam Suhaimi terbitan Global Station Sdn Bhd itu bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.30 bermula pada 19 Mei lalu di saluran Astro Ria HD (104).

Drama ini buat pertama kalinya menggandingkan tiga pelakon lelaki Aiman Hakim Ridza, Luqman Hafidz dan Steve Yap selaku watak utama.

Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & amp; Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, drama siri dengan genre komedi dan jalan cerita yang dipaparkan turut mengetengahkan isu dan elemen yang pasti dekat dengan penonton.

"Terdahulu kami pernah menghasilkan drama bersiri The Maid dan Ramadan Pertama Edi yang mana setiap karya itu mengangkat subjeknya yang tersendiri untuk disampaikan kepada penonton.

"Terus konsisten dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan menepati cita rasa penonton, kali ini kami mempertaruhkan subjek dan topik yang tidak kerap diketengahkan di kaca televisyen iaitu cabaran golongan lelaki terutamanya kaum suami dan bapa moden dalam menyeimbangkan kerjaya, keluarga, minat, keperluan peribadi dan kehidupan secara umum dalam mengharungi zaman serba mencabar ini.

DRAMA bersiri, Ahli Bapak Bapak Club papar konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga dihadapi golongan lelaki.
DRAMA bersiri, Ahli Bapak Bapak Club papar konflik, persahabatan, kerjaya dan keluarga dihadapi golongan lelaki.

ANTARA babak dalam drama bersiri Ahli Bapak Bapak Club.
ANTARA babak dalam drama bersiri Ahli Bapak Bapak Club.

"Menerusi genre komedi dan jalan cerita yang diketengahkan, kami yakin isu dan elemen yang diselitkan pasti dekat dengan penonton. Tambah menarik, jalan cerita ini dibawa dengan begitu berkesan dengan lakonan mantap oleh barisan pelakon berpengalaman serta bakat baharu yang tidak pernah ditonjolkan sebelum ini," katanya.

Raja Jastina juga berharap, drama itu mampu menambat hati penonton serta membuka mata pelbagai pihak untuk lebih memahami situasi golongan bapa di zaman serba moden ini.

"Golongan ini turut berdepan dengan isu yang mungkin kurang didedahkan.

Ini juga adalah kali pertama pihak kami bekerjasama dengan Tam Suhaimi sebagai pengarah drama ini.

"Kami yakin dia mampu memberi sentuhan magis pada drama ini, lebih-lebih lagi Tam amat sinonim dengan mengarahkan karya romantik komedi. Melalui kerjasama ini, ia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar idea dan sekali gus menghasilkan sesuatu yang berbeza," katanya.

Drama ini juga adalah kemunculan pertama Aiman Hakim selepas bergelar bapa dan suami. Ternyata, 'comeback' pada kali ini menyaksikan sisi berbeza Aiman menerusi watak Joe iaitu seorang pelakon yang sedang lalui zaman kejatuhan dan berusaha untuk memikat semula hati bekas isterinya, Hana lakonan Shiqin Kamal, yang kini sudah semakin cantik dan popular selepas mereka berpisah.

Manakala watak Bob yang dilakonkan Luqman Hafidz pula adalah bapa kepada seorang anak tetapi bukan menantu idaman kerana sering menimbulkan masalah dengan ibu mentuanya.

Sementara watak Nik lakonan Steve Yap adalah seorang pakar motivasi terkenal namun tidak disayangi oleh dua anak tirinya. Situasi Nik tambah kacau apabila Qadir (Fizz Fairuz), bekas suami isterinya, mahu mendapatkan kembali isteri dan anak-anaknya. Drama ini juga kali pertama Steve menerajui watak utama dalam drama Melayu.

Selain tiga watak utama itu, pelakon lain yang membintangi drama ini adalah Shiqin Kamal, Uyaina Arshad, Maria Farida, Datuk Ziela Jalil, Datuk Fizz Fairuz, Amir Masdi, Hariz Hamdan, Danish Iskandar, Zailin Aqeesha dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 6:45 AM