Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 2,078 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 377,132 kes dengan 20,065 kes aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes baharu itu, 13 adalah kes import manakala, 2,065 kes adalah penularan tempatan.

Katanya, lapan kematian dilapor membabitkan warganegara berusia antara 35 hingga 89 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

"Kes-kes itu menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,386 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sarawak kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 589 kes dengan 450 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat kes positif yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ia diikuti Selangor (457 kes) dan Kelantan (290 kes). Sebanyak 13 kes dilaporkan berkaitan kluster di penjara dan depot tahanan imigresen (DTI) iaitu Kluster Telok Mas (12 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (1 kes)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Hisham berkata, terdapat 228 pesakit yang positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) termasuk 93 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, bilangan kes yang pulih adalah 1,402 kes yang menjadikan kumulatif 335,224 kes atau 94.2 peratus daripada jumlah keseluruhan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 5:57 PM